Menara Merdeka atau PNB 118. FOTO ASYRAF HAMZAH
Menara Merdeka atau PNB 118. FOTO ASYRAF HAMZAH
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan di menara Merdeka 118, di sini, susulan terdapat satu lagi rakaman video tular bangunan berkenaan diceroboh sekumpulan lelaki, baru-baru ini.

PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan insiden itu berlaku pada 1 Mei tahun lalu.

"Penceroboh terbabit sudah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan pada hari sama.

"Kami ingin menekankan bahawa aksi ini menyalahi undang-undang dan berbahaya sekali gus merisikokan keselamatan penceroboh dan pekerja di tapak pembangunan," katanya.

Menurutnya, pihak PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad menyelar segala perbuatan haram yang dilakukan di tapak pembangunan ini untuk meraih keuntungan komersial dan populariti secara haram.

"Kami ingin menekankan bahawa tapak Merdeka 118 masih aktif dengan kerja-kerja pembinaan dan keselamatan adalah keutamaan kami.

"Justeru, PNBMV akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatannya. Menceroboh adalah kesalahan jenayah yang boleh dihukum oleh undang-undang dan sesiapa yang didapati bersalah atas perbuatan ini akan dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan satu lagi video tular memanjat puncak menara berkenaan selepas dimuat naik seorang bekas anggota tentera Amerika Syarikat, Isaac Wright menerusi akaun YouTube miliknya 'Driftershoots'.

Dalam video berdurasi tujuh minit 19 saat yang dimuat naik pada 30 Disember lalu itu, ia mempamerkan dia dan rakannya menjejakkan kaki ke puncak menara Merdeka 118.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan dari Rusia, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau memuat naik rakaman dari puncak berkenaan di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara itu untuk naik ke puncak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 4:40 PM