DARI kiri: Rizal, Zeti dan Ab. Aziz bergambar bersama ketika melawat Galeri Merdeka 118 di Bangunan Kenanga International. FOTO Eizairi Shamsudin
DARI kiri: Rizal, Zeti dan Ab. Aziz bergambar bersama ketika melawat Galeri Merdeka 118 di Bangunan Kenanga International. FOTO Eizairi Shamsudin
Nabil Basaruddin


PEMBANGUNAN Menara Merdeka 118 oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikat miliknya, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd kini berada pada tahap kemajuan 38 peratus siap dengan ketinggian semasa adalah 78 tingkat.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, projek berkenaan berada pada landasan tepat untuk siap mengikut jadual ditetapkan menjelang 2021 pada kos pembangunan kasar sebanyak RM5 bilion.

Katanya, menara yang merangkumi 118 tingkat dengan ketinggian 635 meter itu juga bakal menjadi mercu tanda baharu yang melengkapi langit bandar raya Kuala Lumpur.

“Ia bukan saja sekadar projek ikonik bertaraf dunia, malah ia turut melambangkan kebudayaan dan sejarah kemerdekaan Malaysia.

“Menara Merdeka 118 turut menyentuh perubahan dan masa depan negara berdasarkan kepada penyatuan luar biasa di antara seni bina bersejarah dan kontemporari.

“Puncak menara ini juga melambangkan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara dan PNB sebagai syarikat yang terus berusaha mencapai kejayaan demi kejayaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Galeri Pameran Merdeka 118 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan Hartanah PNB, Rizal Rickman Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud.

Galeri berkenaan bakal memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat ciri penting seperti lokasi pembangunan dan keterhubungannya ke kawasan lain di Kuala Lumpur serta aspek teknikal lain.

Menara Merdeka 118 berdiri megah bersama dua warisan negara iaitu Stadium Negara dan Stadium Merdeka di mana kemerdekaan negara diisytiharkan pada 1957.

Mengulas lanjut, Zeti berkata, sebagai pemangkin kepada perubahan, Merdeka 118 juga bakal menghidupkan kembali lokasi bersejarah dengan mengutamakan pelan pengaktifan sepanjang tahun.

“Kami berharap ia dapat menarik minat pengunjung serta mencerminkan personaliti serta semangat kawasan pembangunan di Merdeka 118 dan membawa kesan positif bagi kawasan sekitarnya,” katanya.

Apabila selesainya projek itu, Merdeka 118 akan meliputi lebih tiga juta kaki persegi yang terdiri daripada 1.65 juta kaki persegi ruang pejabat untuk disewakan serta dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara.

Malah, projek itu juga bakal diduduki oleh satu-satunya Park Hyatt Hotel di Malaysia dengan kehadiran satu juta kaki persegi pusat beli-belah dan tiga menara kediaman premium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 3:35 PM