Lakaran artis bagi projek menara Merdeka 118.
Lakaran artis bagi projek menara Merdeka 118.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Bhd (PNB), menegaskan bahawa pembangunan Merdeka 118 tidak menggunakan wang pemegang unit amanah, sebaliknya dibiayai oleh sendiri oleh PNB.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pembangunan menara tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara itu dimiliki 100 peratus oleh PNB.

Katanya, menara itu bukan dimiliki unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melalui pegangan ekuiti dalam Merdeka Ventures Sdn Bhd.

"Suntikan ekuiti untuk Merdeka 118 diperoleh daripada dana proprietati PNB sendiri menerusi dana pembiayaan pembangunan.

"Ia disokong oleh dua terbitan sukuk pada 2016 iaitu Program Sukuk SRI Hijau Merdeka Asean dan Sukuk Murabahah Merdeka mulai lima tahun lalu," katanya pada sidang media selepas pengumuman agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) secara maya, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PNB, Tun Arifin Zakaria.

Menara yang mempunyai 118 tingkat dengan ketinggian 678.9 meter itu juga dinobatkan sebagai menara kedua paling tinggi di dunia selepas Burj Khalifa, Dubai setinggi 828 meter.

Nilai pembangunan kasar (GDV) PNB 118 berjumlah lebih RM3.5 bilion dan dijangka memberi kesan positif pada negara dari aktiviti komersial sehingga pelancongan.

Sebelum ini, kedudukan menara kedua tertinggi itu dipegang oleh Shanghai Tower pada ketinggian 632 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 1:52 PM