Wright dan tiga rakannya menyamar sebagai pekerja pembinaan untuk menyelinap masuk ke Merdeka 118. FOTO Youtube Driftershoots
Wright dan tiga rakannya menyamar sebagai pekerja pembinaan untuk menyelinap masuk ke Merdeka 118. FOTO Youtube Driftershoots
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jika sebelum ini pasangan kekasih dari Rusia memuat naik video mereka memanjat puncak bangunan kedua tertinggi di dunia, Merdeka 118, di sini dan menggemparkan Malaysia.

Terbaharu, seorang bekas anggota tentera Amerika Syarikat, Isaac Wright pula memuat naik video memanjat menara berkenaan menerusi akaun YouTube miliknya 'Driftershoots'.

Dalam video berdurasi tujuh minit 19 saat yang didakwa dimuat naik pada 30 Disember lalu itu mempamerkan dia dan rakannya menjejakkan kaki ke puncak menara Merdeka 118.

Isaac memaklumkan dia dan tiga rakannya datang ke Kuala Lumpur untuk memanjat dan mengambil gambar Merdeka 118 yang setinggi 679 meter.

"Perjalanan itu panjang, sukar dan penuh cabaran. Perjalanan itu berakhir dengan jayanya dan adalah hadiah untuk mengakhiri tahun (2022).

"Video ini adalah ekspresi artistik kebebasan. Saya tidak menggalakkan sesiapa untuk meniru aksi yang ditunjukkan dalam video ini," katanya.

Dia turut menjelaskan bahawa perjalanan ke ibu kota ini menjadi perjalanan antarabangsa pertama mereka.

Menerusi video itu, dia dan rakannya dilihat memakai jaket pembinaan dan topi keledar dipercayai menyamar sebagai pekerja bagi menyelinap masuk ke Merdeka 118.

Mereka juga dilihat membuka penghadang yang menghalang daripada memasuki tangga bangunan dan memanjat menara berkenaan.

Terdahulu, pihak polis Kuala Lumpur memaklumkan bahawa video berkenaan yang dipercayai dirakam pada Mei 2020 ditular semula, baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan dari Rusia, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau memuat naik rakaman dari puncak berkenaan di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara itu untuk naik ke puncak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 2:07 PM