Khairulmizan Yahya


Kuantan: "Kami berlima saling berpegang tangan sebelum dipukul ombak besar menyebabkan semua terlepas tangan masing-masing.

"Saya dan dia (mangsa) hanyut dibawa arus deras namun saya mengapungkan diri dan berjaya selamat," kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Izzuddin Hirzie Zaki, 19, menceritakan detik cemas hampir lemas ketika mandi bersama empat rakannya di Pantai Cherating, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, rakannya, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 19, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.

Izzuddin berkata, ketika dihanyutkan arus, dia mendengar rakan-rakannya menjerit supaya dia berenang ke tepi.

"Saya cuba bertenang dan berjaya apungkan diri sebelum kaki saya dapat berpijak pada tanah semula dan terus menyelamatkan diri.

"Sebelum itu saya sempat melihat Am (panggilan untuk Adam) dalam keadaan terkapai-kapai sebelum tenggelam dan tidak kelihatan lagi selepas itu," katanya.

Sementara itu rakannya, Wan Riz Wan Rosdi, 19, berkata, dia dan mangsa antara orang terakhir yang mahu mengikut aktiviti beriadah di pantai berkenaan.

"Kami seramai 20 orang datang dengan empat kereta sewa untuk menghabiskan hari minggu dengan beriadah di pantai ini.

"Perancangan untuk datang ke sini sudah dibuat oleh rakan-rakan sejak dua minggu lalu namun kami berdua (dengan mangsa) hanya bersetuju untuk ikut serta, semalam," katanya.

Katanya, mereka bermain bola sepak pantai dan selepas itu mereka berlima turun semula untuk mandi laut, manakala yang lain ada yang berehat dan minum di gerai berdekatan.

"Tiba-tiba seorang daripada rakan berlari ke arah kami dalam keadaan panik dan memberitahu mangsa hilang dibawa arus.

RAKAN-rakan mangsa menunggu di Pantai Cherating, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya.
RAKAN-rakan mangsa menunggu di Pantai Cherating, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya.

"Kami semua cuba mencari mangsa dengan menyusur pantai selain meminta pertolongan orang ramai namun mangsa gagal dikesan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Operasi SAR dilakukan dengan pencarian di air membabitkan tiga aset milik JBPM, APM dan APMM sebelum ditangguhkan kira-kira jam 6 petang tadi dan akan disambung semula jam 8 pagi esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 8:03 PM