Anggota bomba mengumpul maklumat mangsa yang hilangbdi Pasir Putih, Kuala Suai sebelum melancarkan SAR. FOTO IHSAN JBPM
Anggota bomba mengumpul maklumat mangsa yang hilangbdi Pasir Putih, Kuala Suai sebelum melancarkan SAR. FOTO IHSAN JBPM
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Gerakan mencari dan menyelamat dua lelaki warga emas yang hilang dalam kejadian berasingan di Miri dan Mukah diperhebatkan hari ini termasuk dengan bantuan penduduk kampung.

Dalam kejadian pertama di Pasir Putih, Kuala Suai di Niah dekat Miri, Adna Sulong, 61, disedari hilang pada 11 pagi semalam.

Bagaimanapun, laporan kehilangan mangsa hanya dibuat pada 9.54 malam tadi apabila keluarganya membuat panggilan terus ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan tujuh anggota dari BBP Batu Niah diarah ke lokasi bagi mengaktifkan SAR.

"Setiba di lokasi bomba dimaklumkan mangsa disedari tiada berada di rumah pada 11 pagi.

"Bomba turut membuat pencarian di kawasan berhampiran dengan rumah mangsa tetapi tidak menjumpai apa-apa petunjuk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kali terakhir dia dilihat pagi semalam, mangsa memakai topi, baju warna kelabu, berseluar pendek paras lutut dan berkasut getah.

Sementara itu, dalam kes kedua di kawasan hutan berdekatan stesen minyak di Jalan Mukah-Balingian, Shahminan Mokhtar, 61, dilaporkan hilang selepas memasuki hutan itu untuk mencari buah asam kelubi pagi semalam.

Keluarga mangsa menghubungi BBP Mukah pada 9.53 malam tadi selepas mangsa tidak balik ke rumah hingga malam.

Seramai lima anggota dari BBP Mukah bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan itu bagi mengesan mangsa juga dimaklumkan menghidap anxiety.

Operasi SAR hari kedua hari ini bagi mengesan mangsa yang kali terakhir dilihat memakai baju berwarna biru gelap turut disertai lapan anggota polis dan 37 penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 3:33 PM