PASUKAN SAR bersedia mengangkat mayat yang ditemui lima meter dari lokasi hilang. Foto Erika George.
PASUKAN SAR bersedia mengangkat mayat yang ditemui lima meter dari lokasi hilang. Foto Erika George.
Erika George


LELAKI Indonesia yang hilang selepas bot dinaiki karam di Sungai Batang Suai, Batu Niah, Miri, semalam ditemui pada 2.45 petang hari ini.

Mayat Yanto Olin, 34, dijumpai lima meter dari lokasi dia dilapor jatuh.

Ketika kejadian 10 pagi itu, dia bersama dua rakannya senegara menaiki bot yang sarat muatan kelapa sawit untuk ke Kilang Green Field terletak berhampiran.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, bot dinaiki mangsa karam namun, dua rakannya dikenali Martinus Suliadi Didah, 30, dan Amdokus, 47, berjaya diselamatkan orang awam yang memancing di situ.

“Bagaimanapun, mangsa hilang dan operasi mencari dan menyelamat digerakkan sejurus terima panggilan pada 10.11 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Law berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri terbabit operasi yang dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.

“Selepas 24 jam, mayat mangsa dijumpai dan dibawa ke Jeti Kampung Iran, Suai, sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 5:58 PM