LELAKI yang hilang ketika mencari kayu untuk dijadikan tiang bendera di Tanjung Manis, Mukah semalam ditemui meninggal dunia. FOTO Ihsan JBPM.
LELAKI yang hilang ketika mencari kayu untuk dijadikan tiang bendera di Tanjung Manis, Mukah semalam ditemui meninggal dunia. FOTO Ihsan JBPM.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Lelaki yang dilapor hilang ketika mencari kayu di hutan dekat Jalan Airport, Tanjung Manis di Mukah, semalam ditemui meninggal dunia hari ini.

Difahamkan mangsa, Affendi Morsidi, 55, mencari kayu itu untuk dijadikan tiang pancang bendera bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer dari jalan utama pada 11.40 pagi.

Menurutnya, pasukan SAR mengangkat mangsa ke pusat kawalan bomba (PKB) dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Operasi SAR hari kedua hari ini bermula 8.45 pagi dengan radius pencarian dalam jarak satu kilometer dari PKB.

"Sejurus mangsa disahkan sudah meninggal dunia, mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kehilangan Affendi disedari keluarganya apabila dia pulang ke rumah sejak semalam, selepas keluar dari rumah pada 11 pagi untuk ke kawasan hutan di tepi jalan itu.

Bimbang kejadian buruk berlaku, keluarganya membuat laporan di Balai Polis Tanjung Manis pada 6.50 petang semalam dan SAR diaktifkan pada 7.06 malam.

SAR membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 2:49 PM