Khairulmizan Yahya

Kuantan: Dua bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengubahsuai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran, dua tahun lalu.

Tertuduh pertama, Mohd Isa Mohd Yusof, 36, dan tertuduh kedua Amer Syafeeq Aziz, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mohd Isa didakwa tanpa kuasa menggunakan nombor pengenalan mereka untuk memasukkan nama 26 individu ke dalam laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang sebagai penerima pingat Datuk dan Datuk Seri daripada Sultan Pahang sedangkan individu terbabit tidak disenaraikan untuk menerima anugerah berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 19 Februari 2020 sehingga 12 Oktober 2021 di Pejabat SUK Pahang.

Manakala Amer Syafeeq juga didakwa melakukan kesalahan sama dengan memasukkan nama tiga individu dan perbuatan itu dilakukan antara 18 Ogos 2021 sehingga 4 Oktober 2021.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,00 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

MOHD ISA (dua kanan) dan Muhammad Amer Syafeeq di bawa ke Mahkamah Sesyen selepas didakwa atas pertuduhan mengubahsuai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran, dua tahun lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang
MOHD ISA (dua kanan) dan Muhammad Amer Syafeeq di bawa ke Mahkamah Sesyen selepas didakwa atas pertuduhan mengubahsuai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran, dua tahun lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang

Kedua-dua tertuduh juga boleh dikenakan denda maksimum RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan seperti yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim.

Sebelum itu, Abdul Ghafar menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Mohd Isa dan Muhammad Amer Syafeeq.

Bagaimanapun, Mohd Isa yang tidak diwakili peguam bela merayu supaya wang jaminan dikurangkan dan hanya mampu membayar antara RM10,000 hingga RM20,000.

Sementara itu, Mohd Amer Syafeeq yang diwakili peguam bela, Noor Azmi Kasam pula meminta wang jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh yang kini tidak bekerja.

Noor Azmi menjelaskan anak guamnya kini bekerja sendiri dengan pendapatan RM500 hingga RM700 sebulan perlu menyara seorang isteri yang sedang mengandung dan seorang anak.

Hakim Maimoonah Aid kemudian membenarkan kedua tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan kes disebut semula pada 13 Februari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 2:36 PM