Asrol Awang

Kuantan: Dua kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang ditahan kerana dipercayai menawarkan gelaran darjah kebesaran Pahang iaitu Datuk dan Datuk Seri palsu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dua lelaki masing-masing berusia 30 dan 36 tahun itu ditahan kerana menyalahguna nombor pengenalan pekerja mereka.

Katanya, siasatan mendapati nombor terbabit digunakan dua suspek untuk mengakses sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat Pahang selain membuat pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan.

"Kejadian dipercayai bermula 12 Oktober tahun lalu apabila pengadu yang juga kakitangan SUK Pahang dimaklumkan pihak SUK menerima panggilan daripada seorang kakitangan Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Putrajaya.

"Kakitangan berkenaan ingin mengetahui mengenai seorang lelaki yang hadir sendiri ke bahagian istiadat untuk memasukkan nama beliau dalam sistem rekod pingat dan darjah kebesaran JPM, Putrajaya.

"Pengadu kemudian membuat semakan dan mendapati nama lelaki itu tersenarai dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang.

"Bagaimanapun, semakan dalam senarai induk di pejabat Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi Pejabat SUK Pahang mendapati nama lelaki itu tiada dalam senarai.

"Ia menimbulkan keraguan dan pengadu mengambil tindakan lanjut dan membuat laporan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini, hari ini.

Ramli berkata, pengadu seterusnya mengarahkan kakitangan SUK Pahang untuk membuat semakan semula dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang bagi mendapatkan maklumat mengenai kemasukan data individu yang tidak sah dan tidak sepatutnya berada dalam sistem itu.

Katanya, selepas semakan dibuat, didapati terdapat 29 nama serta butiran peribadi individu itu dimasukkan ke dalam sistem bagi tujuan menerima darjah kebesaran negeri Pahang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri.

RAMLI menunjukkan lambang darjah kebesaran yang tidak sah. FOTO Asrol Awang
RAMLI menunjukkan lambang darjah kebesaran yang tidak sah. FOTO Asrol Awang

"Pada peringkat awal, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa kepada tangkapan dua individu terbabit yang juga kakitangan SUK Pahang.

"Siasatan mendapati suspek pertama bekerja sebagai pembantu operasi dan suspek kedua bekerja sebagai pembantu tadbir di pejabat yang sama tetapi secara kontrak di Pejabat SUK Pahang.

"Siasatan mendapati suspek pertama memasukkan nama 26 individu yang tidak sepatutnya dan tidak disenaraikan sebagai individu yang akan menerima apa-apa jenis anugerah daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Suspek kedua pula memasukkan nama tiga individu bagi tujuan sama," katanya.

Ramli berkata, 29 individu berusia antara 40 hingga 60 tahun yang disenaraikan secara tidak sah itu juga ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, penerima tawaran gelaran Datuk dan Datuk Seri berada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor membayar antara RM80,000 sehingga RM150,000 untuk mendapatkan gelaran terbabit.

Dalam kes terbabit, Ramli berkata, orang ramai, khususnya yang berkepentingan untuk mendapat gelaran dan pingat supaya melalui prosedur dan proses yang ditetapkan.

Katanya, sekiranya didatangi oleh individu yang mengaku boleh membantu atau sebagai ejen untuk mendapatkan gelaran terbabit.

"Ini kerana kerajaan negeri adalah penguasa yang akan menghalusi dan meneliti setiap permohonan dan akan melalui beberapa proses lanjut sebelum kelulusan.

"Justeru, jangan mudah percaya kepada mana-mana individu yang mengaku sebagai ejen.

"Oleh itu saya mengingatkan kepada mana-mana individu yang menggunakan `emblem' diwarta secara tidak sah adalah tidak dibenarkan.

"Mana-mana individu yang menggunakan lambang, nama dan rupaan gambar yang tidak wajar boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963 dan dihukum mengikut Seksyen 5.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 4:38 PM