Low (kanan), Lim (kiri) dibawa keluar daripada Mahkamah Majistret Batu Pahat, Hari ini. FOTO Adi Safri.
Low (kanan), Lim (kiri) dibawa keluar daripada Mahkamah Majistret Batu Pahat, Hari ini. FOTO Adi Safri.
Mohamad Fahd Rahmat


DUA individu yang menggunakan gelaran Datuk palsu dan terbabit dalam sindiket penjualan Darjah Kebesaran Negeri Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor hari ini.

Tertuduh, Low Leong Huat, 57, dan Lim Kuan Hau, 40, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Mustaqim Sukarno mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mohd Zulhilmi menawarkan wang jaminan RM21,000 kepada Low manakala RM31,000 kepada Lim dan menetapkan 13 Disember ini untuk tarikh pengurusan kes.

Low tidak diwakili peguam manakala M Vinodharan mewakili Lim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh memperdayakan mangsanya untuk menyertai Kelab Darjah Kebesaran Pahang (KDKP), yang sebenarnya tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan dengan itu tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai yang mana mangsa tidak menyerahkannya jika tidak diperdayakan sedemikian.

Terdapat lapan individu yang ditipu dan diperdayakan dengan dua kes dilakukan secara bersama oleh kedua-dua tertuduh dengan membabitkan serahan wang berjumlah RM105,600 di alamat 156A, Jalan Rotan Batu, Taman Sri Jaya, Batu Pahat sejak Julai hingga Oktober lalu.

Tertuduh yang juga ahli perniagaan tiba di perkarangan mahkamah jam 8 pagi dengan trak polis.

Tertuduh turut diiringi keluarga dan kenalan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 12:49 PM