PEMAIN Pakistan, Ashraf Rana Waheed (dua dari kiri) cuba melepasi kepungan pemain New Zealand pada perlawanan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh, yang berkesudahan seri 1-1, hari ini. FOTO L MANIMARAN
PEMAIN Pakistan, Ashraf Rana Waheed (dua dari kiri) cuba melepasi kepungan pemain New Zealand pada perlawanan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh, yang berkesudahan seri 1-1, hari ini. FOTO L MANIMARAN
Saiful Affendy Sapran


Ipoh: Ketua jurulatih Pakistan, Roelant Oltmans lebih rela melihat barisan pemainnya memenangi aksi final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) menentang Jepun, esok pada masa penuh perlawanan.

Bagaimanapun pengendali dari Belanda itu menegaskan, barisan pemainnya sudah bersedia sekiranya aksi final itu terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.

"Sejujurnya saya lebih memilih agar perlawanan itu ditentukan sebelum penentuan penalti.

"Tapi jika kami terpaksa menghadapinya (penentuan penalti), ia pengalaman yang bagus untuk pemain.

"Sebagai pemain, anda perlukan pengalaman seperti itu. Barisan pemain saya sudah bersedia berdepan kemungkinan itu meskipun kami mempunyai tempoh cukup singkat untuk melakukan persiapan," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan dengan New Zealand, hari ini.

Jelas Oltmans, Jepun adalah pasukan yang mempunyai benteng pertahanan cukup baik dan beliau akan memikirkan strategi terbaik untuk membolosi gawang lawan.

"Jika anda melihat kepada statistik, mereka (Jepun) tidak menjaringkan gol yang banyak, namun tidak juga dibolosi terlalu banyak.

"Mereka bertahan dengan baik, jadi kami perlu mencari ruang untuk menembusi pertahanan mereka dan pada masa sama, kami tidak boleh kerap memberi peluang kepada Jepun serta pastikan barisan pertahanan kami juga dapat beraksi dengan baik," katanya.

Pakistan mengekalkan rekod tanpa kalah apabila seri 1-1 dengan New Zealand pada perlawanan terakhir liga sepusingan, hari ini.

Sebelum ini, Pakistan melakar kemenangan 5-4 ke atas tuan rumah, Malaysia; 4-0 ke atas Korea Selatan, 5-4 ke atas Kanada dan seri 1-1 dengan Jepun.

New Zealand di depan menerusi jaringan Luke Holmes pada minit ke-35 namun Abu Bakar Mahmoud menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-43.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 7:10 PM