PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad (kanan) memberi penerangan kepada dua pemain skuad itu.  FOTO SRI PAHANG FC
PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad (kanan) memberi penerangan kepada dua pemain skuad itu. FOTO SRI PAHANG FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC tidak memandang mudah apabila melayan kunjungan Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada perlawanan pertama Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), malam esok.

Kapten Tok Gajah, Fadhli Shas berkata, pada masa sama, kemenangan 1-0 ke atas KDN FC pada aksi pramusim baru-baru ini, bukan jaminan skuad itu mengulangi keputusan itu.

"KDN FC sememangnya memiliki barisan pemain mantap. Walaupun ramai pemain muda, tetapi pemain mereka berkualiti yang mampu memberi tentangan sengit.

"Oleh itu saya dan rakan sepasukan tidak boleh berasa terlalu yakin, sebaliknya perlu bekerja keras dan berwaspada dengan kekuatan lawan.

"Kita boleh saksikan KDN FC seri 0-0 ketika berdepan Terengganu TFC (TFC) pada aksi pramusim yang menunjukkan mereka turut berada pada prestasi terbaik," katanya.

Justeru, Fadhli berkata, Sri Pahang mengharapkan tuah pada aksi pembuka tirai itu dan bersemangat dengan sokongan padu peminat di gelanggang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 6:57 PM