Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: Mayat kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa korban terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di sini, ditemukan pada cerun kira-kira empat meter dari lokasi perkhemahannya.

Kawasan penemuan mangsa berusia 11 tahun itu dikatakan sudah beberapa kali dilalui pasukan mencari dan penyelamat (SAR) sejak operasi berkenaan digerakkan, namun mangsa gagal ditemukan.

Mangsa yang dilaporkan hilang dalam insiden runtuhan berkenaan pada 16 Disember lalu ditemukan anggota penyelamat yang melakukan pencarian pada 4.53 petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, cecair hitam yang mengalir di cerun menjadi petunjuk kepada lokasi mayat mangsa berada.

Beliau berkata, lokasi pencarian membabitkan Sektor A (Hill View) yang dipercayai menjadi lokasi terakhir mangsa berdasarkan penemuan mayat bapa dan kakaknya yang ditemukan pada hari pertama kejadian.

"Mayat mangsa ditemukan kira-kira 200 ke 300 meter (m) dari lokasi penemuan dua mayat ahli keluarganya itu sebelum ini.

"Walaupun jarak antara tempat perkhemahan dan lokasi mangsa ditemui hanya empat m, namun ia mengambil masa sembilan hari sebelum ditemukan berikutan kedudukannya terlindung di sebalik cerun selain tertimbus sisa runtuhan tanah.

"Kalau diikutkan, kita sudah melakukan empat kali pencarian di kawasan itu termasuk menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dan excavatorsehingga menemui 19 mangsa lain yang terkorban, namun mangsa gagal ditemukan," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Operasi Bomba di lokasi kejadian di sini, malam tadi.

Pada awalnya, Hafisham berkata, pasukan SAR hampir berputus asa selepas usaha pencarian yang bermula 7.30 pagi semalam tidak menampakkan sebarang perkembangan positif.

Bagaimanapun katanya, kerja berpasukan yang baik bersama pelbagai agensi dan berkat doa orang ramai menghasilkan kejayaan apabila mangsa terakhir berjaya ditemukan.

"Pencarian menumpukan Sektor A dan kita pasti mangsa berada di lokasi itu berasaskan daripada perkongsian maklumat agensi lain dan penemuan mayat bapa dan kakaknya sebelum ini.

"Jadi kita yakin mangsa berada di situ, tapi kalau tak jumpa juga sebenarnya kami sudah putus asa tidak tahu lagi di mana nak cari mangsa, dan Alhamdulillah kita berjaya menemuinya," katanya radius pencarian sudah meliputi 80 peratus lokasi kejadian.

Tambahnya, operasi yang secara keseluruhan membabitkan 800 pegawai dan anggota itu berdepan pelbagai cabaran berikutan keadaan muka buminya selain faktor cuaca hujan menyebabkan tanah lembut serta berlumpur.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada agensi lain yang membantu terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Harian Metro semalam melaporkan, penemuan aliran cecair di tebing disyaki cecair mayat oleh pegawai penguasa kanan bomba yang menjalankan kerja SAR di sektor A berjaya menemui mangsa terakhir.

Penemuan itu menjadikan keseluruhan seramai 31 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 mangsa selamat dalam kejadian membabitkan 92 mangsa.

Perincian mangsa meninggal dunia ialah 14 wanita dewasa, enam lelaki dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.

Anggota penyelamat bersedia untuk memasuki semula kawasan pencarian selepas operasi bersambung setelah dihentikan seketika akibat cuaca buruk ketika melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa tanah tuntuh di Father Organic Farm, Jalan Genting -  Batang Kali. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Anggota penyelamat bersedia untuk memasuki semula kawasan pencarian selepas operasi bersambung setelah dihentikan seketika akibat cuaca buruk ketika melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa tanah tuntuh di Father Organic Farm, Jalan Genting - Batang Kali. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 9:36 AM