Raja Noraina Raja Rahim


Hulu Selangor: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah supaya semua pihak bersabar dengan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali di sini.

Baginda bertitah, pasukan keselamatan melakukan yang terbaik dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian.

"Diharap semua bersabar. Kita (pasukan keselamatan) melakukan yang terbaik," titahnya.

Terdahulu, baginda berkenan mencemar duli mendengar taklimat mengenai operasi SAR tanah runtuh di Pusat Operasi di lokasi kejadian.

Ketibaan Seri Paduka pada jam 4 petang diiringi anakanda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Al-Sultan Abdullah.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid.

Sebaik sahaja selesai taklimat, baginda bersama anakanda berkenan meninjau operasi SAR.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seramai 24 mangsa disahkan terkorban dan 61 berjaya diselamatkan manakala sembilan lagi mangsa masih hilang.

Bencana pada 2.42 pagi itu membabitkan runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.

Misi SAR memasuki hari ketiga hari ini dan setakat jam 5 petang, belum ada petunjuk serta penemuan baharu di lokasi pencarian.

SUFFIAN dan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor ketika sidang media operasi mencari dan menyelamat kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SUFFIAN dan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor ketika sidang media operasi mencari dan menyelamat kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 5:51 PM