AZAM dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. FOTO NSTP.
AZAM dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. FOTO NSTP.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki bertekad memikul amanah dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti.

Beliau juga berharap seluruh rakyat Malaysia serta jentera kerajaan tanpa kompromi dapat berganding bahu bersama SPRM bagi memerangi jenayah rasuah di negara ini.

"Menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan semula saya ke jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Saya akan terus memastikan amanah ini dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab itu dengan penuh integriti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berpendapat bahawa pelantikan semula itu adalah bukti Azam menjalankan tugas dengan cemerlang dan mendapat kepercayaan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan perkhidmatannya.

"MCW berpandangan Azam memiliki pengalaman luas dan memenuhi kriteria ditetapkan khususnya dalam memastikan kesinambungan siasatan dan pertuduhan kes-kes berprofil tinggi yang sedang giat dijalankan.

"Perkhidmatan beliau amat diperlukan bagi melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif pencegahan menerusi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang baru dilancarkan.

"Ini terutamanya berkaitan penambahbaikan pengurusan tatakelola nasional yang pasti akan dapat membantu meningkatkan daya saing negara, sekali gus mengurangkan risiko gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh setahun berkuat kuasa Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 6:52 PM