Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: Mayat mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali, di sini ditemui pada kedalaman antara satu hingga 1.5 meter.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pada hari pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan jentera pengorek (excavator) dan menemui lapan mayat pada kedalaman itu.

Menurutnya, pada hari kedua SAR pula, kaedah sama digunakan dan tiga lagi mayat ditemui pada kedalaman sama.

"Sementara mayat lain ditemui apabila ada anggota badan yang terkeluar dari kawasan tanah runtuh.

"Penggunaan alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) juga banyak membantu dan mengecilkan skop pencarian apabila mengesan beberapa tanda dikenal pasti kemungkinan ada body (badan)," kepada pemberita pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Norazam. FOTO Arkib NSTP
Norazam. FOTO Arkib NSTP

Bagaimanapun, katanya, selepas penggalian dijalankan di lokasi ditanda itu namun tidak menemui mangsa sebaliknya adalah objek lain.

"Operasi juga dihentikan sejam pada jam 4.30 petang tadi kerana hujan lebat sebelum disambung semula dan akan diteruskan sehingga malam ini bergantung kepada keadaan cuaca sehingga ke 4 pagi sebelum disambung semula jam 8 pagi esok.

"Operasi yang disambung semula itu dilakukan dalam sektor yang lebih selamat di mana JUPEM turut memasang sensor pergerakan dan jika berlaku pergerakan tanah akan segera dimaklumkan namun setakat ini ia tidak berlaku," katanya.

ANGGOTA penyelamat melakukan kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting -  Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ANGGOTA penyelamat melakukan kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting - Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 8:06 PM