JERSI TFC bagi musim baharu 2024/25. FOTO TFC
JERSI TFC bagi musim baharu 2024/25. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bertemakan 'heritage' dan 'new era', jersi baharu Terengganu FC (TFC) dijangka bakal mendapat tempat di hati peminat setia dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menerusi majlis pelancaran yang berlangsung secara dalam talian, malam tadi, TFC masih mengekalkan warna rasmi bendera negeri iaitu jersi 'home' berwarna hitam dan putih sebagai warna utama serta gabungan warna keemasan untuk reka bentuk lebih premium.

Bagi jersi 'away' pula, naib juara Piala Malaysia musim lalu itu menampilkan warna hitam sebagai warna utama dan oren pada logo serta elemen yang terdapat pada jersi.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, pihak pengurusan yakin jersi itu bakal mendapat tempat dalam kalangan peminat kerana warna dan reka bentuknya yang begitu menarik.

"Setiap musim peminat ternanti-nanti dan begitu teruja untuk menyarung jersi TFC bagi menaikkan lagi aura mereka ketika memberikan sokongan kepada pemain.

"Kita menampilkan tema heritage dan new era pada jersi rasmi TFC kali ini dengan mengekalkan warna tradisi hitam dan putih sebagaimana warna rasmi bendera negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 6:32 PM