Keadaan salah sebuah lori yang terlibat dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 42.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak  dekat Bentong pada kira kira 12.30 hari ini. FOTO Ihsan PBPM
Keadaan salah sebuah lori yang terlibat dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 42.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong pada kira kira 12.30 hari ini. FOTO Ihsan PBPM
Roselan Ab Malek


Bentong: Kesesakan teruk lalu lintas Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Kuantan, di sini, berpunca akibat kemalangan lima kenderaan termasuk dua lori di Kilometer 42.9 lebuh raya berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari, kesesakan berlaku berlaku lebih 20 kilometer dari Kilometer 21.7 sehingga ke lokasi kemalangan terbabit.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan itu membabitkan dua lori, sebuah kereta Toyota Vios dan Honda Civic serta kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria.

"Kemalangan itu turut menyebabkan dua lelaki mengalami kecederaan ringan dan pasukan bomba bertindak membuat perawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan," katanya.

Sementara itu, pemegang konsesi lebuh raya berkenaan, Anih Berhad memaklumkan kemalangan terbabit menyebabkan trafik sesak dari Kilometer 21.7 lebuh raya terbabit sehingga ke lokasi kemalangan.

Katanya, laluan di Kilometer 42.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak terhalang sementara susulan kemalangan membabitkan lima kenderaan di lokasi itu.

"Trafik juga sesak kira-kira 10.4 kilometer dari Kilometer 53.4 sehingga lokasi kemalangan. Kesesakan juga berlaku dari Kilometer 21.3 hingga Plaza Tol Gombak berikutan pertambahan kenderaan," katanya.

Menurutnya, setakat 3 petang tadi, lorong kanan dan kiri mulai dibuka kepada lalu lintas, manakala lorong kecemasan masih ditutup.

Katanya, kerja-kerja pembersihan di lokasi dijangka siap sebelum 6 petang ini.

"Kerjasama pengguna dalam merancang perjalanan amat dihargai. Sila pandu dengan berhati-hati dan patuhi arahan petugas di lokasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 4:31 PM