LORI muatan bahan kimia yang terbalik, mengakibatkan pemandu maut. FOTO Ihsan LLM.
LORI muatan bahan kimia yang terbalik, mengakibatkan pemandu maut. FOTO Ihsan LLM.
Nurul Hidayah Bahaudin


Bentong: Pemandu lori yang membawa muatan asid hidroklorik meninggal dunia selepas kenderaan dipandunya itu terbalik dan terbakar di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala Pantai Timur di sini.

Kejadian kira-kira 8 malam itu turut mengakibatkan bahan kimia terbabit tumpah.

P Siniwasan, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terperangkap di tempat duduknya.

Pegawai Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penolong Penguasa Bomba Norhisham Che Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.42 malam dan sepasukan 35 pegawai dan anggota bersama lima jentera dikerah ke lokasi.

Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Gebeng serta BBP KLCC.

Turut membantu, dua pasukan daripada sebuah syarikat kimia.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas menggunakan jentera 'Wheel Loader' untuk mengangkat kepala lori 25 tan berkenaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norhisham berkata, pasukan kemudian menjalankan kerja pembersihan dan 'neutralization' sebelum memantau proses pemindahan bahan kimia itu bagi memastikan tiada lagi unsur bahaya di lokasi.

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), ANIH Berhad memaklumkan lori berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbakar dalam kemalangan berkenaan.

"Susulan kejadian itu, pihak bomba mengarahkan semua lorong ditutup bagi memastikan keselamatan pengguna dan bagi tujuan pengalihan serta pembersihan bahan kimia.

"Pengguna dinasihatkan untuk menggunakan laluan jalan lama di Kilometer 42.9 hala timur. Sila ikuti laman rasmi Anih Berhad di Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur bagi perkembangan lanjut.

"Pengguna juga boleh menghubungi talian LPT-Line, 1700818700 atau 09-5479111 untuk sebarang pertanyaan," katanya.

Pemantauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati aliran trafik kembali lancar di lokasi terbabit dengan lorong kanan dibuka sementara setakat 8 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 10:50 AM