Zaid Salim

Kuala Terengganu: Doa dan solat hajat Nurul Ain Bakri, 33, ibu kepada Muhammad Sufi Eijas Sobre, 3, yang lemas di tali air Kampung Kebor Besar, Manir, di sini, dimakbulkan apabila dia ditemui jam 11.34 pagi, hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad, berkata mayat kanak-kanak terbabit ditemui pasukan pencari dan penyelamat dalam keadaan terapung di permukaan air kira-kira 599 meter dari tempat kejadian.

"Mayat kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke darat sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk bedah siasat.

Mohd Mazimi berkata, terdahulu operasi SAR yang ditangguhkan jam 12 tengah malam tadi disambung jam 7 pagi dengan selaman di sekitar lokasi kejadian.

"Kekuatan anggota pagi ini membabitkan seramai 65 orang termasuk pasukan sukarelawan dan penduduk," katanya.

Dalam kejadian jam 4 petang, semalam, kanak-kanak terbabit dikatakan ke lokasi kejadian untuk melihat air banjir bersama bapa, Mohd Sobre Ramli, 33, abang, Muhammad Shakir Wafiudin, lapan tahun dan adik bongsu, Muhammad Shafiq Arshad berusia satu tahun.

Ketika melihat air banjir di tepi tali air, secara tiba-tiba mangsa bersama abangnya dikatakan bermain di jambatan tanpa disedari bapa yang sedang melayani anak bongsunya kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian.

Mangsa dikatakan terjatuh ketika berada di tepi jambatan sebelum hilang dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 1:12 PM