Oleh Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bakal memperoleh sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen pada sidang khas usul undi percaya yang akan berlangsung 19 Disember ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah mendapat komitmen daripada ketua parti politik yang menyokongnya ketika ini, menjelang sidang khas berkenaan selepas beliau sendiri mencadangkan usul berkenaan sebelum ini.

"Ketua-ketua parti, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), WARISAN dan beberapa parti lain sudah memberi komitmen dan Insya Allah kita dapat teruskan dengan baik.

"Minta saudari doakan yang sebaiknya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Pada sidang media pertama Anwar selepas beliau mengangkat sumpah jawatan 24 November lalu memaklumkan satu usul undi percaya akan dibentangkan di dalam sidang Parlimen pada 19 Disember ini bagi menamatkan persoalan mengenai keabsahannya selaku Perdana Menteri.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 itu akan berlangsung selama dua hari dengan antara agenda utama ialah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar.

Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO AIZUDDIN SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 4:12 PM