LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah meninggalkan parti dan menjadi ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menjejaskan kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Peguam awam dan perlembagaan, Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad, berkata ia kerana gabungan GRS - Barisan Nasional (BN) kekal kukuh dengan 46 Adun, selain komitmen tujuh Adun Pakatan Harapan (PH) yang menyokong beliau.

"Adalah difahamkan juga bahawa Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dengan tiga Adun dan seorang calon Bebas menyokong teguh kerajaan GRS-BN.

"Berdasarkan jumlah ini, Hajiji jelas mendapat sokongan daripada 57 Adun, masih memiliki majoriti daripada 79 ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) termasuk enam yang dilantik.

"Dengan itu Hajiji terus mendapat keyakinan Dun mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Tengku Fuad berkata, empat Ahli Parlimen GRS juga tidak akan kehilangan kerusi akibat meninggalkan Bersatu.

Katanya, ia kerana mereka bertanding sebagai calon GRS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bulan lalu dan bukan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.

Sehubungan itu, katanya tidak berlaku perlanggaran Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan memandangkan keempat-empat mereka dipilih di bawah GRS.

Empat Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) (Papar), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi).

Pemimpin Bersatu Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu itu, semalam.

Bersatu Sabah sebelum ini mempunyai 14 kerusi Dun iaitu Klias, Kuala Penyu, Membakut, Kawang, Sulaman, Pintasan, Pitas, Karanaan, Labuk, Apas, Nabawan dan Kemabong, manakala dua lagi kerusi Adun Dilantik.

Menerusi satu kenyataan semalam, Hajiji yang juga Pengerusi Bersatu berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 5:46 PM