Datuk Seri Hajiji Noor
Datuk Seri Hajiji Noor
BERNAMA

Kota Kinabalu: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor, masih Ketua Menteri Sabah walaupun Barisan Nasional (BN) Sabah menerusi parti komponennya Umno, mengumumkan menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri, tegas GRS hari ini.

Pada kenyataan bersama yang dikeluarkan empat kepimpinan tertinggi parti komponen dalam GRS hari ini, mereka sepakat pengumuman itu tidak memberi kesan terhadap kedudukan semasa Hajiji kerana keabsahan Ketua Menteri ditentukan melalui sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berpandukan kepada Perlembagaan Negeri Sabah.

"Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dan sebarang kenyataan media parti-parti politik tidak memberikan kesan daripada sudut perundangan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Presiden Sabah Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Semalam, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ketua Badan Perhubungan Umno negeri pada sidang media mengumumkan pendirian Umno dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukannya sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.

Bung Moktar berkata, BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan negeri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020, namun Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.

Beliau turut mengakui, ada lima daripada 18 Adun BN tidak menyokong keputusan terbabit, tanpa menyatakan nama Adun berkaitan.

Keempat-empat presiden parti komponen dalam GRS itu mengesahkan bahawa Adun Sabah daripada GRS tetap teguh menyokong penuh kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Kenyataan berkata, GRS adalah sebuah parti politik dengan jumlah Adun paling banyak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah serta menyatakan penghargaan terhadap sokongan Adun lain terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri, termasuk sokongan kolektif Adun Pakatan Harapan (PH), Adun BN, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) dan Adun dilantik.

"Komitmen padu ini berpaksikan kepada kesedaran bahawa kepentingan rakyat dan negeri seharusnya diutamakan berbanding kepentingan sempit kepartian dan individu," kata mereka serta menambah, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menghormati mandat rakyat pada PRN Sabah ke-16.

Kenyataan juga berkata, empat pemimpin parti komponen GRS itu berpendapat, tindakan BN menarik sokongan terhadap Hajiji adalah susulan daripada kegagalan perancangan awal mereka pada 5 Januari lalu.

"Sebarang gerakan membentuk kerajaan pintu belakang dan tidak melalui proses pilihan raya adalah tindakan mengkhianati mandat rakyat dan seharusnya ditolak," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 1:33 PM