GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang dikuat kuasa sejak Oktober lalu bakal teruji menerusi situasi politik semasa di Sabah ketika ini.

Ia berikutan tindakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, termasuk empat Ahli Parlimennya di Sabah yang mengumumkan meninggalkan parti itu semalam.

Tindakan mereka menimbulkan persoalan sama ada empat Ahli Parlimen terbabit berdepan risiko kerusi mereka dikosongkan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bulan lalu, seramai lima ahli Bersatu Sabah memenangi kerusi ditandingi, masing-masing empat atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan seorang Perikatan Nasional (PN).

Empat yang menang atas tiket GRS ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Datuk Jonathan Yassin (Ranau), Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi).

Keempat-empat mereka bersama 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pemimpin Bersatu Sabah keluar daripada parti itu seperti diumumkan bekas Ketua Badan Pimpinannya yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hanya Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang memenangi kerusi Parlimen Beluran atas tiket PN pada PRU-15 kekal dalam parti itu dan kini dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah yang baharu.

Ketika ditanya mengenai risiko undang-undang anti lompat parti itu, Jonathan berkata, beliau bertanding sebagai calon GRS dan menjadi ahli langsung gabungan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood sebelum ini berkata, Ahli Parlimen Bersatu Sabah yang keluar parti tidak perlu mengosongkan kerusi.

Katanya, tindakan mereka itu tidak jatuh di bawah undang-undang baharu anti lompat parti yang diluluskan pada 5 Oktober lalu.

Beliau berkata, ia kerana Ahli Parlimen terbabit bertanding atas tiket GRS yang sudah didaftar secara rasmi dan bukannya di bawah tiket Bersatu.

Undang-undang baharu itu katanya, hanya terpakai jika seorang daripada Ahli Parlimen GRS itu meninggalkan gabungan berkenaan dan menyertai parti lain.

Sementara itu, Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLA), Roger Chin berkata, undang-undang anti lompat digubal untuk menghalang seseorang wakil rakyat yang menang atas tiket sebuah parti politik daripada melompat ke parti lain selepas memenangi kerusi.

"Bagaimanapun, apa terjadi jika seseorang melompat dari satu gabungan parti ke gabungan parti lain tetapi masih berada dalam pakatan yang sama? Adakah undang-undang itu juga menghalangnya?

"Malaysia mempunyai sejarah yang menyaksikan gabungan parti menjadi pemerintah berbanding sebuah parti tunggal yang memiliki majoriti untuk memerintah sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dengan pindaan terhadap 'ahli parti politik' dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, maksud perkataan berkenaan sudah cukup jelas.

Beliau bertanya sama ada sebuah parti politik bermakna parti politik secara individu seperti Umno dan PKR atau termasuk juga gabungan berdaftar seperti Barisan Nasional (BN) atau GRS.

Katanya, laporan sebelum ini menunjukkan perlembagaan GRS membenarkan gabungan itu beroperasi sebagai sebuah parti politik walaupun keahliannya ketika ini berdasarkan parti politik.

"Jika ini betul, adakah Ahli Parlimen GRS atau hanya parti yang mereka menjadi ahli seperti Bersatu menjadi ahli GRS? Ketika ini tiada maklumat mencukupi untuk menentukan isu ini secara sehala atau sebaliknya," katanya.

Roger berkata, watikah, bendera dan lambang yang digunakan Ahli Parlimen boleh memainkan peranan dalam faktor yang boleh dipertimbangkan bagi mendapatkan jawapan berhubung persoalan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 4:42 PM