NOR Hasnina menerima hadiah hari lahir daripada muridnya, antaranya termasuk timun dan rambutan. FOTO Ihsan Nor Hasnina Hatta.
NOR Hasnina menerima hadiah hari lahir daripada muridnya, antaranya termasuk timun dan rambutan. FOTO Ihsan Nor Hasnina Hatta.
Noor Hidayah Tanzizi


Bintulu: Berjarak lebih 1,000 kilometer (KM) daripada keluarga di Kedah menyebabkan guru wanita ini mencipta memori indah sendiri sempena hari lahirnya, bulan lalu.

Nor Hasnina Hatta, 24, meraikan hari istimewa berkenaan bersama 21 anak muridnya, malah menjamu mereka makan mi goreng yang dimasak sendiri, lengkap dengan sayur dan protein.

Katanya, dia hanya mahu berkongsi rezeki pada tanggal kelahirannya, 27 November lalu bersama murid Tahun Dua di sekolah di pedalaman daerah ini, yang sudah mencuri hatinya sejak bertugas, Mac lalu.

"Melihat murid saya menghabiskan mi goreng itu membuatkan saya gembira dan ini cara saya menghiburkan hati apabila jauh daripada keluarga, selain untuk menaikkan semangat.

"Tapi saya tidak sangka pula niat saya menjamu mereka makan dibalas dengan 'kejutan'. Mereka beri hadiah hari jadi yang antaranya termasuk timun dan rambutan, hasil tanaman keluarga," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nor Hasnina berkata, dia memaklumkan kepada anak muridnya mengenai 'jamuan makan' itu beberapa hari awal untuk memastikan mereka datang ke sekolah.

Katanya, dia juga memberitahu jamuan makan itu sempena hari lahirnya, dengan anak muridnya teruja sambil bertanya sama ada mereka perlu melakukan 'persiapan' atau membawa hadiah.

"Apabila mereka tanya begitu, saya berseloroh, 'nak bawa (hadiah)... bawa lah'. Tetapi itu hanyalah gurauan dan saya pesan kepada mereka berulang kali supaya tidak membawa apa-apa... hanya datang makan.

"Pada Isnin, hari jamuan itu, murid saya jelas teruja dan gembira melihat bungkusan makanan yang saya bawa. Saya pun seronok tengok reaksi mereka.

"Tak sangka mereka beri hadiah sambil ucap selamat hari lahir. Ada lebih 10 hadiah seperti makanan ringan, keropok, timun, limau dan rambutan," katanya.

Menurutnya, dia sangat menghargai pemberian anak muridnya meskipun bukan barangan mahal, sebaliknya tanda ingatan kanak-kanak itu yang membuatkannya terharu.

"Murid kelas saya bukanlah daripada keluarga yang senang dan segelintir ibu bapa mereka petani. Itu membuatkan saya terharu dan anggap ini mungkin cara mereka 'membalas' masakan saya.

"Walaupun hadiah mereka tidak mahal tetapi saya sangat menghargainya. Timun itu diberikan murid perempuan yang beritahu ibunya sendiri bungkuskan untuk saya dan itu hadiah daripada dia dan ibunya," katanya.

Guru Bahasa Melayu itu memberitahu dia bangun seawal jam 4 pagi untuk memasak dua kilogram mi goreng berkenaan.

Graduan Universiti Sains Malaysia itu turut memberitahu tidak menyangka dihantar mengajar ke pedalaman Sarawak dan mengambil masa tiga jam perjalanan dari bandar.

"Mulanya memang sedih nak datang ke sini tetapi perlahan-lahan saya cuba terima. Sebagai guru, tekad saya mahu anak murid mendapatkan pendidikan dan masa depan yang lebih baik.

"Video di TikTok itu hanya untuk kenangan saja kerana saya tidak selamanya akan mengajar di situ dan turut berterima kasih untuk semua komen positif yang menyemarakkan lagi semangat saya untuk mengajar di Sarawak," katanya.

Terdahulu, Nor Hasnina memuat naik video di TikTok menunjukkan anak muridnya menikmati mi goreng yang dimasaknya sendiri dan dia menerima hadiah hari lahir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 6:00 PM