ISMANIZA Fahida Ismail gemar membantu murid kurang bernasib baik sejak tahun pertama mengajar lagi. FOTO Ihsan Ismaniza Fahida
ISMANIZA Fahida Ismail gemar membantu murid kurang bernasib baik sejak tahun pertama mengajar lagi. FOTO Ihsan Ismaniza Fahida
Redzuan Muharam


Baling: "Saya pernah hidup susah ketika kecil dan faham apa dilalui murid berkenaan. Kepayahan lalu membuatkan saya tekad gembirakan mereka (murid)," kata Ismaniza Fahida Ismail, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Sheh di Kupang, di sini.

Kisah Ismaniza Fahida, 40, tular baru-baru ini selepas berkongsi beberapa video di TikTok menunjukkan cerita sedih kesusahan anak muridnya dan bagaimana dia berusaha membantu mereka.

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi dengan segelintir netizen memuji sikap Ismaniza Fahida yang prihatin dengan muridnya namun tidak kurang juga melemparkan kata negatif.

Bercerita lanjut, Ismaniza Fahida yang mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani berkata, perkongsiannya di TikTok itu bukan untuk meraih perhatian sesiapa atau mengaibkan murid mahupun keluarga mereka sebaliknya salah satu caranya berkongsi realiti sebenar dengan pengikut.

"Sebenarnya, saya memang suka bantu murid sejak tahun pertama mengajar lagi.

"Setiap kali panggil mereka ke hadapan di dalam kelas untuk menanda buku, saya akan tanya mereka soalan lazimnya berkaitan aktiviti harian, apa yang dimakan dan pekerjaan emak ayah.

"Daripada jawapan mereka, saya dapat tahu jika ada yang mempunyai masalah dan cuba cari jalan untuk bantu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Ismaniza Fahida, hatinya cepat tersentuh setiap kali mendengar cerita kesusahan muridnya kerana dia juga seorang ibu yang mempunyai tiga anak.

Disebabkan itu, Ismaniza Fahida cuba berkongsi rezeki yang ada dengan muridnya kerana mahu mereka juga merasai nikmat menjamah makanan enak dan sebagainya seperti kanak-kanak lain.

"Sudah menjadi tabiat saya membawa sesuatu daripada rumah untuk diberikan kepada murid di sekolah hingga suami pun menyedarinya.

"Jujurnya, saya berasa puas dapat kongsi rezeki contohnya seperti dalam perkongsian video di TikTok baru-baru ini yang menunjukkan saya hadiahkan kasut sekolah kepada murid perempuan selepas lihat dia datang ke kelas memakai selipar. Bila ditanya, jawabnya tiada duit beli kasut baru kerana bapanya strok otak dan hanya ibu yang bekerja.

"Sebak rasanya dan kebetulan, kasut itu sudah lama ada cuma belum ada yang muat memakainya dan mungkin sudah rezeki murid perempuan berkenaan.

"Saya ini seorang yang hati tisu jadi mudah menangis mendengar cerita murid. Mana tidaknya, ramai di antara mereka belum pernah dan teringin makan di restoran makanan segera namun tidak mampu sedangkan anak saya dapat merasainya. Itu sebabnya saya bawa juga mereka ke sebuah restoran makanan segera bulan lalu," katanya.

Ismaniza Fahida berkata, selain suami, Mohd Rozaini Khazali, 39, dia juga mendapat sokongan kuat daripada guru besar, Salbiah Salleh serta guru lain di sekolah bagi membantu murid kurang bernasib baik.

Justeru, usaha membantu murid akan diteruskan sekalipun akan ada yang mengecam dan tidak senang dengannya.

"Baru-baru ini, ada yang mengecam an mengatakan saya cuba mengeksploitasi kanak-kanak kerana mendedahkan wajah murid dalam video dimuat naik di TikTok .

"Hakikatnya, saya sudah meminta izin daripada keluarga mereka terlebih dahulu sebelum memuat naik apa juga video.

"Sedih juga namun kecaman dilemparkan tidak akan mematahkan semangat saya kerana selagi terdaya, saya akan terus perjuangkan nasib murid kurang bernasib baik.

"Di samping itu, saya dengan kerjasama pihak sekolah turut mewujudkan taman mini di sekolah bagi membolehkan ibu bapa untuk bercucuk tanam dan memanfaatkan hasilnya untuk dimakan atau dijual," katanya yang turut menerima sumbangan orang ramai untuk membantu muridnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 1:36 PM