Cikgu Muhammad Nazmi Rosli (kiri) menerima hadiah daripada anak muridnya di Sekolah kebangsaan Long Sukang, Miri. FOTO IHSAN FB NAZMI
Cikgu Muhammad Nazmi Rosli (kiri) menerima hadiah daripada anak muridnya di Sekolah kebangsaan Long Sukang, Miri. FOTO IHSAN FB NAZMI
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Bekas guru Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang, Lawad, Sarawak, Muhammad Nazmi Rosli, 28, menjual sebahagian koleksi figura aksi kesayangannya bagi mendapatkan wang demi membeli hadiah perpisahan bagi 120 anak muridnya.

Ia dilakukan Muhammad Nazmi sebelum bertukar ke SK Luagan, Lawas.

Jualan koleksi itu diiklankan dalam Facebook miliknya, malah ia menarik minat Ahli Parlimen Selangau Baru Bian yang kemudian membeli semua koleksi berkenaan pada harga RM2,030.

Antara koleksi figura aksi yang dijual ialah Red Death, Old Man Logan, Parademon, The Joker dan Crossbones.

Antara koleksi figura yang dikumpul Cikgu Muhammad Nazmi Rosli di Sekolah kebangsaan Long Sukang, Miri untuk membeli hadiah kepada anak muridnya.   FOTO IHSAN FB NAZMI
Antara koleksi figura yang dikumpul Cikgu Muhammad Nazmi Rosli di Sekolah kebangsaan Long Sukang, Miri untuk membeli hadiah kepada anak muridnya. FOTO IHSAN FB NAZMI

"Wang jualan itu saya gunakan untuk membeli kelengkapan alat tulis selain buku yang kemudian saya hadiahkan kepada semua murid di SK Long Sukang.

"Saya hantar sendiri hadiah ini kepada semua murid, malah ada dalam kalangan mereka menangis kesedihan.

"Mereka terkejut apabila diberitahu saya akan berpindah sekolah. Malah, ada yang enggan menggunakan kelengkapan alat tulis ini dan mahu menyimpannya," katanya.

Menurut Muhammad Nazmi yang sudah empat tahun mengajar di sekolah itu, hadiah berkenaan sebagai tanda kenangan untuk muridnya.

Muhammad Nazmi Rosli memberikan hadiah untuk anak muridnya di Sekolah kebangsaan Long Sukang, Miri. FOTO IHSAN FB NAZMI
Muhammad Nazmi Rosli memberikan hadiah untuk anak muridnya di Sekolah kebangsaan Long Sukang, Miri. FOTO IHSAN FB NAZMI

Katanya, idea untuk menjual figura aksi itu tercetus selepas dia mengetahui akan ditukar ke sekolah lain.

"Bagaimanapun, saya agak sedih kerana tidak dapat berjumpa anak murid sebelum berpindah kerana Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)," katanya.

Menurutnya, ada juga rakan yang bertanya mengapa dia menjualnya sedangkan figura aksi itu antara koleksi yang sukar ditemui dalam pasaran serta bernilai tinggi.

"Saya ada pendapat tersendiri dan menganggap hobi adalah perkara sampingan serta boleh mendapatkan semula koleksi lain pada masa akan datang.

"Bagi saya, memori bersama anak murid lebih berharga, ditambah pula ini sekolah pertama saya berkhidmat selepas terbabit dalam bidang pendidikan," katanya.

Berkongsi lanjut, katanya, ini bukan kali pertama dia menjual koleksi yang dikumpulnya lebih 10 tahun lalu.

Antara koleksi figura yang dikumpul Cikgu Muhammad Nazmi Rosli di Sekolah kebangsaan Long Sukang, Miri yang dijual untuk mengumpul wang bagi membeli hadiah kepada anak muridnya.   FOTO IHSAN FB NAZMI
Antara koleksi figura yang dikumpul Cikgu Muhammad Nazmi Rosli di Sekolah kebangsaan Long Sukang, Miri yang dijual untuk mengumpul wang bagi membeli hadiah kepada anak muridnya. FOTO IHSAN FB NAZMI

"Sudah banyak kali saya menjual pelbagai figura aksi lain untuk membeli kelengkapan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas supaya ia menjadi lebih menarik.

"Saya tidak kisah melepaskan koleksi kesayangan kerana gembira melihat murid seronok mengikuti pembelajaran dalam kelas.

"Sumbangan yang saya lakukan ini boleh dianggap kecil namun ia akan jadi lebih bermakna apabila semua murid saya ini berjaya dalam pelajaran," katanya.

Menurut Muhammad Nazmi, dia akan meneruskan pendekatan sama di sekolah baharunya nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 7:30 AM