CIKGU Azfaizal merasa kuih agar-agar santan dibawa anak muridnya untuk jamuan akhir tahun. FOTO tangkap layar video TikTok.
CIKGU Azfaizal merasa kuih agar-agar santan dibawa anak muridnya untuk jamuan akhir tahun. FOTO tangkap layar video TikTok.
Redzuan Muharam


Kota Bharu: "Saya tahu anak murid saya bukan orang senang, jadi saya cuba jamah setiap makanan yang mereka bawa... mahu mereka rasa dihargai," kata Azfaizal Abdul Aziz, 48.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Demit (2) itu berkata demikian selepas video dia mengulas dan menjamah makanan dibawa muridnya untuk jamuan akhir tahun tular di media sosial.

Salah satu video yang dimuat naik meruntun hati warganet apabila menunjukkan satu bekas makanan yang diletakkan tersorok oleh murid yang mungkin malu dengan makanan dibawa.

Berkongsi kisah itu, Azfaizal yang mengajar subjek Sains berkata, penganjuran jamuan akhir tahun untuk murid tahun enam dianjur kelmarin.

"Saya adalah guru kelas berkenaan dan sempena hari terakhir, saya rancang jamuan konsep 'potluck', dengan saya bawa hidangan utama dan minta jasa baik ibu bapa untuk sumbang (tambah) makanan.

"Pada hari jamuan berlangsung, ada macam-macam makanan yang dibawa murid dan seperti (jamuan) di kelas lain, saya akan jamah setiap satunya.

"Nampak reaksi murid gembira ketika saya jamah makanan dibawa mereka dan selesai semuanya (jamah), saya terjumpa satu bekas berisi kuih agar-agar santan yang diletakkan di tepi tong air.

"Saya buka bekas itu dan makan, serta turut mempelawa murid lain makan bersama. Saya mahu berlaku adil dan tidak mahu ada mana-mana murid kecil hati apabila tidak rasa makanan mereka bawa walaupun agar-agar santan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Azfaizal berkata, kuih yang dijamah itu sedap dan cuba bertanya siapa yang membawa hidangan terbabit, namun tiada yang membuka mulut.

"Sebak juga hati saya ketika menjamah manisan itu kerana tahu anak murid saya orang susah.

"Jadi saya faham hanya itu yang mereka mampu bawa pada jamuan tempoh hari dan mungkin dia malu nak tunjuk makanan itu.. mungkin bimbang tidak ada yang mahu menjamahnya," katanya.

Azfaizal juga memaklumkan niatnya berkongsi video itu di TikTok bukan untuk mengaibkan sesiapa, tetapi sekadar berkongsi detik yang menyentuh hatinya.

"Tak sangka tular hingga ada hampir 10,000 komen. Saya baca juga (komen), kebanyakannya positif dengan mengatakan apa saya buat (ulas dan jamah makanan) satu inisiatif baik.

"Terima kasih atas komen positif. Mesej cuba saya sampaikan kepada semua yang menonton video itu adalah, jangan malu dengan masakan emak kerana masakan mereka paling hebat.

"Diharap, sahabat guru lain juga dapat menghargai makanan atau apa jua pemberian murid kerana itu akan buat mereka bangga serta bercerita pula kepada ibu bapa mereka di rumah," katanya yang sudah 24 tahun menabur bakti sebagai pendidik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 8:51 PM