Oleh Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Pengalaman terpaksa berkhemah di dalam hutan akibat rumah ditenggelami banjir pada Februari lalu mendorong 12 keluarga dari Kampung Putat Tujuh di sini, membina pondok sementara untuk dijadikan tempat berlindung.

Penduduk terbabit membina pondok menggunakan kayu hutan memandangkan cuaca tidak menentu dengan hujan setiap hari selain beberapa kawasan di penempatan itu mula digenangi air sejak semalam.

Salah seorang penduduk, Sharifah Mat, 60, berkata, dia dan suami Abdullah Pa, 64, mendirikan pondok sementara itu sebagai persiapan berpindah jika rumahnya dinaiki air.

"Februari lalu, rumah kami dinaiki air setinggi dua meter menyebabkan keluarga termasuk seorang cucu berusia sebulan, terpaksa tidur di khemah dalam hutan berdekatan.

"Perkampungan kami memang disediakan pusat pemindahan sementara (PPS) namun apabila banjir besar melanda berlaku kesesakan dengan mangsa yang terlalu ramai. Jadi, tiada pilihan lain selain terpaksa berteduh di dalam khemah di kawasan bebas banjir.

"Insya-Allah dengan adanya pondok sementara ini, kami sekeluarga merasa lebih selamat dan selesa untuk berteduh memandangkan rumah terpaksa ditinggalkan demi keselamatan diri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sharifah Mat, 60, bersama cucunya berada di pondok sementara yang dibina sebagai persiapan jika banjir melanda penempatanya di  Kampung Putat Tujuh, di sini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Sharifah Mat, 60, bersama cucunya berada di pondok sementara yang dibina sebagai persiapan jika banjir melanda penempatanya di Kampung Putat Tujuh, di sini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Sementara itu, bagi Mohd Zain Mahmud, 70, berkata pondok sementara yang dibinanya hampir siap untuk menempatkan dia dan isteri, Khatijah Salem, 63, jika perlu berpindah akibat bannir.

"Pondok ini hampir siap, hanya perlu pasang kanvas sebagai dinding bagi mengelak tempias hujan. Malah dapur kecil juga dibina bagi memudahkan isteri memasak sepanjang kami berada di pondok ini.

"Semua kayu yang digunakan diambil di sekitar hutan berdekatan dan dilakukan secara beramai-ramai dengan jiran," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjangkakan beberapa kawasan di Daerah Pasir Mas Kelantan akan dilanda banjir hari ini, sekiranya Lembangan Sungai Golok terus menerima hujan yang signifikan.

Menurut JPsS, jangkaan itu berdasarkan makluman ramalan hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan hasil simulasi model ramalan banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 2:37 PM