Oleh Syaherah Mustafa


Pasir Mas: "Saya terpaksa berteduh di dalam van ini kerana rumah sudah tidak selamat susulan dilanda banjir sejak malam tadi," kata Nazura Che Ani, 51.

Nazura adalah seorang daripada 400 pemilik rumah di Taman Desa Wira Jaya di sini, yang dilanda banjir separas 0.5 sehingga 0.8 meter (m) sejak tengah malam tadi.

Menurutnya, dia tidak ada pilihan lain selain berteduh di van miliknya selepas jalan ke rumah saudara juga tidak dapat dilalui.

Nazura Che Ani, 51, terpaksa berteduh di dalam van selepas kediamanya dilanda banjir di Taman Desa Wira Jaya, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Nazura Che Ani, 51, terpaksa berteduh di dalam van selepas kediamanya dilanda banjir di Taman Desa Wira Jaya, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

"Saya hanya sempat membawa beberapa helai baju dan dompet yang berisi sedikit wang serta kad pengenalan diri. Dokumen penting lain tidak dapat diselamatkan.

"Hanya saya dan suami ada di rumah, manakala empat lagi anak kami berada di luar Kelantan.

"Seawal 3.30 pagi, saya terpaksa meredah air sejauh lebih satu kilometer (km) untuk sampai ke jalan utama yang masih belum dinaiki air.

"Barang-barang dalam kedai runcit milik saya juga habis tenggelam," katanya ketika ditemui di Taman Desa Wira Jaya di sini, hari ini.

Nazura berkata, van berkenaan memang sudah dibuang bahagian tempat duduk belakang kerana digunakan untuk membeli barangan runcit secara borong.

"Jadi ruang yang ada ini bolehlah saya membentangkan tikar untuk dijadikan tempat berehat sambil menunggu air di rumah surut.

"Ini adalah kali pertama saya berhadapan dengan banjir, jadi banyak persiapan tidak dilakukan. Namun begitu, saya bersyukur kerana sudah berada di tempat selamat yang bebas banjir.

"Sebenarnya, bukan saya sahaja yang berteduh di dalam kenderaan, malah ada juga jiran-jiran lain yang mengambil tindakan sama," katanya.

Sementara itu, Syazana Zakaria, 30, berkata, dia hanya menyelamatkan diri dengan sehelai sepinggang kerana terkejut melihat paras air yang tinggi sudah memasuki kawasan dalam rumah.

Menurutnya, dia hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dan anak berusia enam tahun tanpa sempat mengambil sebarang dokumen penting.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 1:40 PM