GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Polis menyerahkan siasatan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan penduduk dekat FELDA Lasah, di sini bahawa alamat rumahnya digunakan tanpa kebenaran oleh individu lain dalam pendaftaran pemilih SPR.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang mendakwa terdapat individu lain menggunakan alamat rumahnya.

"Perkara ini kita rujuk kepada SPR untuk menyiasat lebih lanjut," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki yang menetap dekat Lasah, di sini yang berada dalam kawasan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang dan Parlimen Sungai Siput mendakwa alamat rumahnya digunakan oleh seseorang yang menetap di kerusi DUN Jalong, di sini yang juga dalam kawasan Parlimen Sungai Siput.

Dakwanya, alamat rumahnya dalam kawasan DUN Lintang digunakan tanp kebenaran oleh seseorang yang menetap di Kampung Jaya Setia yang berada dalam kawasan DUN Jalong, justeru membuatkan dia membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Siput, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 3:41 PM