Mayat mangsa ditemui dalam hutan berhampiran rumahnya. FOTO Ihsan JBPM
Mayat mangsa ditemui dalam hutan berhampiran rumahnya. FOTO Ihsan JBPM
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI ditemui meninggal dunia dalam kawasan hutan berhampiran rumahnya di Kampung Pisang, Jalong, Sungai Siput hari ini selepas dipercayai hilang sejak Jumaat lalu.

Mayat Mohamad Saipul Azizi, 38, ditemui 11 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang ditubuhkan selepas polis mendapat maklumat kehilangan mangsa daripada penduduk kampung lewat malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, operasi mencari mangsa mula dilakukan semalam membabitkan polis dan penduduk kampung namun tidak menemui mangsa.

“SAR disambung pagi ini dalam skala lebih besar membabitkan pelbagai agensi lain termasuk Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

“Mangsa yang hilang berjaya ditemui di bawah cerun dalam hutan berhampiran rumahnya dalam keadaan mengalami calar-calar pada badan serta disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat mangsa kali terakhir dilihat Jumaat lalu serta tinggal bersendirian di rumah kerana isterinya dirawat di hospital dan kehilangannya disedari penduduk kampung yang datang ke rumahnya namun gagal menemui mangsa sejak beberapa hari lalu.

“Lelaki itu dikatakan sering mencari durian di kawasan hutan yang terletak berhampiran rumahnya dan mangsa dipercayai terjatuh ke bawah cerun terbabit ketika mencari durian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 6:27 PM