KEADAAN kecederaan yang dialami mangsa yang diserang binatang buas ketika sedang mencari kayu di hutan berhampiran rumahnya. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN kecederaan yang dialami mangsa yang diserang binatang buas ketika sedang mencari kayu di hutan berhampiran rumahnya. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Remaja Orang Asli cedera selepas diserang binatang buas dipercayai beruang ketika mencari kayu di hutan berhampiran rumahnya dekat Lasah, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabuddin berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4 petang tadi oleh anggota Balai Polis Lintang.

Beliau berkata, maklumat pertama diperoleh bersumberkan anggota terbabit yang kebetulan terlihat remaja lelaki itu dalam keadaan mengalami luka teruk ketika dibawa ke Klinik Kesihatan berhampiran.

Mohd Khaizam berkata, berdasarkan penceritaan mangsa berusia 18 tahun itu, dia mendakwa diserang binatang buas.

"Keadaan mangsa luka teruk termasuk terdapat koyakan kulit daripada kesan cakaran pada kepala serta tangan namun tidak mengalami sebarang kepatahan dalaman. Mangsa mengatakan dia diserang haiwan buas namun dia sendiri pun tidak pasti haiwan apa.

"Cuma berdasarkan gambaran diberikan mangsa, kita syak mungkin ianya adalah beruang," katanya sewaktu dihubungi malam ini.

Mohd Khaizam berkata, keadaan mangsa kini stabil namun kesnya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusof Shariff ketika dihubungi berkata, pihaknya juga masih dalam proses mengenal pasti spesis haiwan buas yang menyerang mangsa.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan anggotanya untuk pergi ke lokasi mangsa diserang pada pagi esok untuk siasatan dan tindakan.

"Kita bimbang jika haiwan buas itu adalah harimau kumbang jika mengarahkan kakitangan Perhilitan ke sana pada malam ini juga yang sekali gus membahayakan mereka.

"Perhilitan akan siasat perkara ini. Jadi buat sementara waktu, kita minta penduduk agar berhati-hati dan jangan bersendirian ketika ke kawasan semak atau hutan kawasan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 10:50 PM