SEBANYAK 31 pusat pemindahan sementara (PPS) masih lagi aktif dan tiada PPS yang ditutup.
SEBANYAK 31 pusat pemindahan sementara (PPS) masih lagi aktif dan tiada PPS yang ditutup.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir terus meningkat apabila merekodkan seramai 2,546 orang membabitkan 783 keluarga di Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Melaka setakat 8 pagi tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini memaklumkan jumlah itu membabitkan 13 daerah yang aktif di enam negeri berkenaan.

"Kelantan merekodkan jumlah tertinggi, melebihi 1,000 mangsa iaitu seramai 1,706 mangsa diikuti Johor (319), Perak (261), Selangor (182), Melaka (41) dan Pulau Pinang (37).

"Jumlah itu menyaksikan peningkatan ketara mangsa banjir di Kelantan daripada 1,468 mangsa, semalam kepada 1,706 mangsa, hari ini (setakat 8 pagi).

"Sebanyak 31 pusat pemindahan sementara (PPS) masih lagi aktif dan tiada PPS yang ditutup sehingga 8 pagi tadi," katanya.

Dalam hantaran sama, Nadma memaklumkan empat stesen di Sarawak, Johor, Melaka dan Kelantan merekodkan paras air melebihi tahap bahaya pada 8 pagi.

"Di stesen Long Jegan, Miri, Sarawak, paras air direkodkan 12.59 meter iaitu 0.59 meter melebihi paras bahaya ditetapkan iaitu 12 meter di lokasi terbabit pada 8.30 pagi dengan paras air menunjukkan trend menaik.

"Selain itu, di stesen Sungai Skudai, Kampung Laut, Johor Bahru, Johor turut merekodkan paras air 3.6 meter iaitu 0.6 meter melebihi paras bahaya pada tiga meter pada 8.45 pagi dengan trend air menaik," katanya.

Sementara itu, paras air di stesen Rantau Panjang, Pasir Mas Kelantan pula merekodkan 9.52 meter iaitu 0.52 meter melebihi paras bahaya pada sembilan meter pada 8 pagi tadi dengan menunjukkan trend air menurun.

"Satu lagi stesen yang merekodkan paras air tahap bahaya adalah Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah iaitu 2.75 meter melebihi 0.75 meter daripada paras bahaya dua meter dengan trend air menurun pada 8 pagi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 10:44 AM