GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 2,269 mangsa banjir membabitkan 656 keluarga direkodkan di Johor, Melaka, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sehingga jam 8 pagi, hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini, memaklumkan jumlah itu membabitkan 12 daerah yang aktif di tujuh negeri berkenaan.

"Kelantan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 951 mangsa diikuti Selangor (699), Pulau Pinang (236), Johor (221), Kedah (112), Melaka (40) dan Perak (10).

"Sebanyak 26 pusat pemindahan yang masih lagi aktif, manakala satu pusat pemindahan sudah ditutup sehingga jam 8 pagi tadi," katanya.

Dalam hantaran sama, Nadma memaklumkan empat stesen di Sarawak, Selangor, Melaka dan Kelantan merekodkan aras air melebihi tahap bahaya pada jam 9 pagi tadi.

"Di stesen Long Jegan, Miri, Sarawak, aras air direkodkan 12.55 meter iaitu 0.55 meter melebihi paras bahaya ditetapkan iaitu 12 meter di lokasi terbabit jam 9.15 pagi. Bagaimanapun, aras air menunjukkan trend menurun.

"Selain itu, di stesen Rantau Panjang, Kuala Selangor, Selangor turut merekodkan aras air 7.83 meter iaitu 0.03 meter melebihi paras bahaya pada 7.8 meter jam 9.30 pagi dengan trend air menurun," katanya.

Sementara itu, aras air di stesen Rantau Panjang, Pasir Mas Kelantan pula merekodkan aras air 9.9 meter iaitu 0.9 meter melebihi paras bahaya pada 9 meter jam 8 pagi dengan menunjukkan tiada perubahan trend.

"Satu lagi stesen yang merekodkan aras air tahap bahaya adalah Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah, Melaka iaitu 2.45 meter melebihi 0.45 meter daripada pasar bahaya dua meter dengan trend air menurun jam 9 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 12:16 PM