GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Fadhilah Mazlan

Kuala Lumpur: Sebanyak 13 daerah di Perak, Selangor, Melaka, Johor, Kelantan dan Pahang masih terjejas dengan bilangan negeri yang terkesan banjir kekal enam setakat jam 3 petang ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, seramai 1,282 mangsa daripada 365 ketua isi rumah (KIR) direkodkan masih berada di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.

"Jumlah ini menurun berbanding laporan jam 8 pagi apabila terdapat 1,301 mangsa banjir sedang ditempatkan di PPS seluruh negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga jam 3 petang ini menunjukkan satu sungai merekodkan bacaan paras air berada pada tahap bahaya iaitu Sungai Marudi di Miri, Sarawak.

Nadma berkata, lima sungai dengan bacaan air berada pada tahap amaran pula adalah Sungai Serting , Sungai Triang, di Pahang, Sungai Kerian di Bandar Baharu, Kedah, Sungai Muar di Buloh Kasap dan Sungai Muar di Kampung Awat, Johor.

Menurut JPS, sepuluh sungai, empangan dan parit melebihi paras waspada ialah, Sungai Semantan, Pahang, Empangan Sembrong di Batu Pahat, Sungai Sembrong, Sungai Lenik, Sungai Muar, Sungai Kesang, Sungai Tangkak dan Parit Keliling di Johor.

Manakala di Sabah, ia membabitkan Sungai Sook di Biah dan Sungai Pegalan di Ansip.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan berasingan pada jam 1 tengah hari mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 5 petang di Perak, Pahang dan Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 6:54 PM