ARMISHAH Siraj. FOTO Hamzah Osman.
ARMISHAH Siraj. FOTO Hamzah Osman.
Hamzah Osman


Langkawi: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Langkawi, Datuk Armishah Siraj menggariskan empat teras utama dalam manifesto yang dikemukakannya, hari ini.

Empat teras itu membabitkan dua cadangan pelaksanaan di peringkat persekutuan, manakala dua lagi difokuskan kepada kebajikan penduduk pulau lagenda ini.

Armishah berkata, antara fokus cadangannya termasuklah pelaksanaan elaun seberang laut berjumlah RM500 kepada lebih 4,000 penjawat awam yang bekerja di Langkawi.

Selain itu, turut dicadangkan pemberian visa percuma selama seminggu kepada kepada pelancong luar negara yang berkunjung ke pulau peranginan ini.

Armishah, 58, yang berpengalaman selama 31 tahun sebagai Setiausaha Sulit kepada tiga Menteri Besar Kedah, turut memberi dua cadangan khusus bagi pulau ini.

Pertama, kouta khas sebanyak 20 peratus disediakan kepada anak Langkawi bagi memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi.

Beliau juga ingin menubuhkan 'DAS Assist Centre' yang akan bertanggung jawab mengurus dan mengendalikan kebajikan penduduk setempat.

Dalam manifesto empat muka surat yang diedarkan kepada petugas media di sini, turut dipaparkan adalah enam kejayaan penyelesaian masalah sebagai bukti beliau sentiasa mengutamakan kebajikan penduduk.

Antaranya, penyelesaian masalah diskaun tiket feri secara dalam talian kepada penduduk Langkawi serta isu lambakan sampah selama dua tahun di Pulau Tuba akibat pandemik Covid-19.

Manifesto itu juga akan ditambah dengan Perancangan Amal dan Usaha (Padu) BN yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 5:35 PM