GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Kulai: Lima lelaki tempatan dipercayai terbabit kes pecah rumah ditahan dalam empat serbuan di lokasi berasingan di sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, individu yang ditahan berusia antara 23 hingga 38 tahun itu termasuk seorang yang mempunyai 16 rekod jenayah lampau.

"Mereka ditahan Pasukan Lejang Balai Polis Kulai antara jam 12 tengah hari sehingga 5 petang.

"Hasil siasatan awal mendapati semua yang ditahan terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar Kulai dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi pembuktian kes.

"Kita juga akan siasat pembabitan lima yang ditahan ini sama ada turut ada kaitan dengan jenayah di luar daerah Kulai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah Proton Wira, sebuah konsol permainan PlayStation 4, sebuah beg sandang, kasut berjenama dan dua kamera jenis Canon.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua individu yang ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua individu itu direman selama seminggu bermula hari ini sehingga 16 November depan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 9:59 PM