FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Amanina Suhaini


Kulai: Tiga remaja perempuan disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks bawah umur diselamatkan dalam serbuan menerusi Op Noda di sebuah premis kecantikan di Jalan Air Hitam, Batu 21, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata, kesemua remaja tempatan itu berusia antara 13 hingga 15 tahun.

Terdahulu, katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai melakukan serbuan dan pemeriksaan pada jam 2.40 petang.

"Susulan itu, polis menahan seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun disyaki terbabit dalam kegiatan persundalan/pelacuran.

"Turut dirampas tiga telefon bimbit, sehelai tuala, segulung tisu, satu paket kondom dan wang tunai berjumlah RM 534.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine, dan kesemua suspek serta mangsa dibawa ke IPD Kulai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 12 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 373(1)(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 4:36 PM