TENGKU Adnan (kanan), Radzi (tiga kanan) Noraishah (depan, kiri), Mohd Rosli (dua kanan), Samsudin (empat kanan) dan Lim bergambar selepas menghantar borang pencalonan. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TENGKU Adnan (kanan), Radzi (tiga kanan) Noraishah (depan, kiri), Mohd Rosli (dua kanan), Samsudin (empat kanan) dan Lim bergambar selepas menghantar borang pencalonan. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid


Image

Putrajaya: Presiden Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi tidak gerun untuk menentang calon dianggap 'heavyweight' di kerusi P125 Parlimen Putrajaya dalam pertembungan enam penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Ini kerana calon Bebas yang berada kedudukan nombor 4 dalam kertas undi itu menjelaskan rakyat kini lebih bijak memilih wakil rakyat untuk membawa suara mereka dan pilihan tidak lagi bersandarkan populariti semata-mata.

Samsudin, 46, berkata sebagai Presiden NGO pengguna, beliau sudah sekian lama berjuang berkenaan isu rakyat khususnya kepenggunaan yang dekat di hati masyarakat.

"Tetapi kami rasa akhir-akhir ini suara kami tidak didengari. Saya rasa rakyat kali ini lebih pandai sebab isunya dan bukanlah sebab populariti. Isunya sekarang 'perut'.

"Setiap orang merasai kesukarannya. Isunya perjuangan harga makanan yang meningkat dan kos sara hidup tinggi. Ini kali pertama saya bertanding dalam pilihan raya umum.

"Sebenarnya, saya tidak berminat dengan politik tetapi saya kena menceburkan diri juga sebab saya mahu membawa suara rakyat untuk lebih dipedulikan kerana saya juga dalam masyarakat seperti anda semua," katanya.

Sementara itu, peguam yang juga seorang lagi calon Bebas, Lim Fice Bee, 44, menjelaskan dia mahu menjadi ejen perubahan untuk meningkatkan lagi kesejahteraan, kemakmuran dan kebajikan rakyat khususnya di pusat pentadbiran negara ini.

"Kita mesti jadi ejen perubahan. Mengenai pertembungan enam penjuru untuk kerusi Parlimen Putrajaya, biarlah penduduk yang putuskan," katanya.

Dua calon Bebas itu akan menentang calon dianggap 'heavyweight' iaitu penyandang empat kali berturut-turut kerusi P125 Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-Umno) dan Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Bersatu) yang juga Menteri Kanan Pendidikan.

Selain itu, turut sama bertanding dalam perebutan Parlimen Putrajaya ialah pensyarah kanan di Jabatan Parasitologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz dicalonkan Pakatan Harapan (PH-PKR) dan Timbalan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Mohd Rosli Ramli, yang menggunakan logo Pejuang.

Bagi Dr Noraisah Mydin, walaupun menghidap penyakit 'spina bifida' sejak lahir dan perlu berkerusi roda untuk bergerak namun itu tidak mematahkan semangatnya mencari peluang berbakti kepada rakyat.

Mohd Rosli pula mengharapkan supaya pengundi Putrajaya dapat memberi peluang kepadanya bersandar pengalaman daripada seorang pelaksana polisi kini ke arah penggubal polisi atau daripada pelaksana dasar kepada penggubal dasar

"Insya-Allah saya mampu melaksanakan tanggungjawab ini kerana pengalaman saya dalam pentadbiran awam, dalam kerajaan selama lebih 34 tahun. Insya-Allah akan dapat membuahkan hasil yang lebih baik kepada penduduk di Putrajaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 8:19 PM