FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Hujan lebat bermula jam 1 pagi tadi menyebabkan 719 mangsa daripada 175 keluarga terpaksa dipindahkan ke tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan banjir yang berlaku di negeri ini.

Menurut data Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor, PPS dibuka di Daerah Klang membabitkan lokasi di Masjid Kampung Johan Setia yang menempatkan 195 mangsa dari 49 keluarga selain PPS Balai MPKK Kampung Jalan Kebun, Batu 7 yang menempatkan 58 mangsa dari 15 keluarga.

Dua PPS dibuka di Daerah Petaling iaitu Dewan Camelia Putra Heights (210 mangsa dari 53 keluarga) dan Masjid Putra Heights (227 mangsa dari 51 keluarga).

Daerah Hulu Langat pula membabitkan 29 mangsa dari tujuh keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih.

Manakala jumlah mangsa di dua lagi PPS iaitu di Balai Raya Pekan Bangi Lama (Hulu Langat) serta Dewan Orang Ramai Taman Gemilang (Sepang) masih dalam bancian.

Sementara itu, tiga PPS yang dibuka pada 11 dan 15 November di daerah Kuala Selangor serta Sabak Bernam masih beroperasi sehingga hari ini.

PPS berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram yang menempatkan 116 mangsa dari 30 keluarga; Dewan Bagan Nakhoda Omar (tujuh mangsa dari dua keluarga) serta Dewan Simpang 5 (enam mangsa dari satu keluarga).

Beberapa kawasan di Selangor sekali lagi dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang turun beberapa jam sejak 10.30 malam kelmarin.

Pemantauan di media sosial mendapati banjir kilat membabitkan banyak kawasan antaranya, Seksyen 13; Seksyen 22; Padang Jawa; I-City di Shah Alam.

Kawasan Klang yang terjejas adalah Taman Sentosa; GM Klang; Kondominium Dinasti Klang; Bandar Klang; Taman Chi Liung; Pangsapuri Taman Permai Indah dan Jalan Yadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 9:18 AM