Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, menegaskan Barisan Nasional (BN) mesti kekal dengan pendirian menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika parti itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas 19 November ini.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, sesiapa saja daripada Umno yang dicalonkan untuk menjadi Perdana Menteri selain Ismail Sabri mesti ditolak, selaras dengan keputusan diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU).

"Sekiranya kita cukup kerusi Parlimen untuk menubuhkan kerajaan, maka tiada calon kedua daripada Umno melainkan hanya Ismail Sabri saja calon tunggal dikemukakan parti.

"Kita mesti bersatu hati dalam perkara ini dan hanya Pau saja boleh mengubah keputusan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Keluarga Malaysia di Felda Bukit Cherakah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Pada masa sama, Annuar berkata, keputusan PAU itu perlu dihormati dan ia hanya menunggu perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

ANNUAR Musa (dua, kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika hadir pada program Hari Bersama Komuniti di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Cerakah hari ini. FOTO Bernama.
ANNUAR Musa (dua, kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika hadir pada program Hari Bersama Komuniti di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Cerakah hari ini. FOTO Bernama.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan soal memilih calon Perdana Menteri bukan boleh dipilih sewenang-wenangnya.

"Jangan ubah-ubah (calon Perdana Menteri). Ini bukan masa hendak 'melawak beruk' (mempersenda) dan tidak dibuat main-main.

"Kita akan mendokong keputusan PAU menamakan Ismail Sabri selaku calon Perdana Menteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 5:07 PM