Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Proses transformasi kira-kira 1,000 Pusat Internet Komuniti di seluruh negara kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) bagi memfokuskan kegiatan ekonomi digital dalam kalangan penduduk luar bandar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelancaran PEDi berkenaan dijangka dibuat di Bera, Pahang pada November ini.

Beliau berkata, sebahagian daripada peruntukan yang disalurkan kepada kementeriannya akan digunakan untuk proses naik taraf pusat internet yang pada asalnya hanya menyediakan kemudahan internet asas kepada penduduk luar bandar.

"Kita sudah buat keputusan bahawa semua pusat internet desa perlu direkayasa semula kerana pada asalnya hanyalah menyediakan kemudahan internet secara asas.

"Tetapi sekarang penekanan juga difokuskan kepada aplikasi yang boleh membawa kepada penjanaan pendapatan serta ekonomi rakyat.

"Justeru, apa yang ditekankan sekarang bukan hanya capaian tapi ekonomi digital supaya orang di luar bandar boleh menjurus kepada kegiatan ekonomi serta menambah pendapatan," katanya.

Terdahulu, Annuar menziarahi bekas penggiat seni, Hasan Asat, 84, sempena Program Keluarga Malaysia Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Kampung Padang Lembek, Ketereh, di sini, hari ini.

Katanya, proses transformasi itu juga mendapat kerjasama daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang akan menyediakan latihan serta modul kursus e-dagang yang bakal dijalankan di semua PEDi.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan kerjasama dengan semua syarikat telekomunikasi untuk menaik taraf capaian internet serta telekomunikasi di semua kawasan terutama lokasi yang menerima aduan.

"Kita galakkan orang ramai membuat aduan melalui portal Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan kita akan bekerjasama dengan syarikat 'telco' untuk naik taraf perkhidmatan telekomunikasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 4:56 PM