BERNAMA

Bera: Kewujudan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dapat melahir dan memperkasakan usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat terutamanya masyarakat luar bandar.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) merupakan tonggak ekonomi negara yang mana pada akhir tahun 2020, bilangan PMKS merangkumi hampir 1.2 juta, atau 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan.

Bagaimanapun, katanya sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan perlu diperkasakan terutamanya setelah terjejas akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"PEDi menjadi sebuah pusat sehenti untuk mendekatkan usahawan kecil agar mesra terhadap ekonomi digital. Pelbagai program disediakan untuk membantu usahawan kecil memulakan perniagaan atau meningkatkan permintaan terhadap produk mereka.

"Adalah diharapkan usahawan kecil ini kemudian dapat mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik menggunakan akses talian dan platform e-dagang. Keupayaan usahawan kecil mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi akan meningkatkan kecekapan dan seterusnya, memacu perniagaan dalam jangka panjang," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap pada pelancaran PEDi di PEDi Kampung Durian Tawar di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

ISMAIL Sabri (tengah) bersama Annuar, Wan Rosdy (dua kiri) dan Mustapa (kiri) melakukan gimik pelancaran PEDi) di Bera, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.
ISMAIL Sabri (tengah) bersama Annuar, Wan Rosdy (dua kiri) dan Mustapa (kiri) melakukan gimik pelancaran PEDi) di Bera, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.

Perdana Menteri berkata, seramai 800,000 usahawan kecil disasar menerima manfaat PEDi menjelang tahun 2025 melalui program tersebut diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama agensi dan pemain industri.

Katanya sebanyak 873 pusat PEDi sedia ada akan dipertingkatkan dan dipergiatkan sebagai pusat sehenti untuk aktiviti ekonomi digital luar bandar dengan 37 PEDi baharu dibuka pada suku pertama tahun 2022 disusuli 173 PEDi menjelang penghujung tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhan 1,083 PEDi beroperasi di seluruh negara.

Sebagai Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri berkata seramai 1,158 peserta dari daerah tersebut telah mendaftar sebagai ahli PEDi dan menggunakan pusat itu untuk menghadiri kelas keusahawanan dan daripada pertemuannya dengan peserta, ada yang memaklumkan bahawa perniagaan mereka semakin melonjak.

"Kerajaan yakin program ini akan merangsang komuniti setempat terutamanya golongan belia melengkapkan diri dengan pengetahuan digital yang sofistikated untuk bersaing membina masa hadapan terutamanya mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan atau keusahawanan.

"Dengan usaha ini, kerajaan berharap usahawan ini dapat meningkatkan pengeluaran dan produktiviti yang akan menghasilkan keuntungan dan dengan itu, ia mengekalkan perniagaan serta pekerjaan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

Selain PMKS, Ismail Sabri berkata PEDi juga memanfaatkan 15.4 juta penduduk terutamanya daripada golongan B40 dan masyarakat luar bandar bagi merapatkan jurang digital.

Ini, katanya, turut akan mencetuskan inovasi digital yang boleh memacu hasrat negara membangunkan agenda ekonomi digital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 11:33 AM