Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Perbezaan ketara harga minyak masak subsidi di negara jiran antara faktor utama ia terus diseludup ke negara berkenaan.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun memaklumkan, ketirisan itu berada dalam pengetahuan pihaknya.

Justeru, pihaknya akan membuat penilaian secara berterusan dan pada masa sama perlu menilai semula kaedah yang diguna pakai sama ada berkesan atau sebaliknya.

Annuar Musa berucap sempena Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDI) Kelantan di sebuah Hotel di Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Annuar Musa berucap sempena Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDI) Kelantan di sebuah Hotel di Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Sekarang ini kita akui agak longgar apabila mereka yang mendapat kuota dan ke mana mereka mengedarkan bekalan, itu yang menjadi masalah.

"Perbezaan harga yang ketara di Thailand berbanding harga subsidi di sini mendorong kepada aktiviti penyeludupan bekalan minyak masak itu. Bayangkan satu paket minyak mereka mampu peroleh keuntungan RM4 hingga RM5, itu yang menyebabkan ketirisan masih berlaku.

"Pada masa sama, kita sedang membuat audit forensik kepada kilang pembungkusan minyak masak subsidi itu. Bagaimanapun, kita akui terdapat beberapa kelemahan dan kementerian berkaitan akan membuat kenyataan berhubung perkara berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di sini, hari ini.

Annuar berkata, sekiranya mereka tidak memberi kerjasama berhubung usaha yang dilakukan kerajaan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengubah sistem sedia ada.

"Pasukan khas sentiasa komited dan kita akan kenal pasti di mana kelemahan sebenar yang menyebabkan ketirisan masih berlaku," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, bekalan minyak masak subsidi masih banyak dan mudah diperoleh di Golok, Thailand walaupun kerajaan melakukan pelbagai pendekatan termasuk memberi amaran kepada semua pihak yang berkaitan bagi memastikan tidak lagi berlaku ketirisan.

Penduduk di negara berkenaan memaklumkan, walaupun isu minyak masak subsidi itu dikatakan panas di Malaysia, namun bekalan di negara itu masih seperti sediakala bagaikan tidak ada apa yang berlaku.

Bagaimanapun, mereka mendakwa peniaga terutama di kedai runcit dan pasar kini menukar taktik dengan meletakkan hanya beberapa paket sahaja di luar kerana tidak mahu dilihat mereka mempunyai bekalan yang banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 4:37 PM