ANNUAR Musa. FOTO Bernama
ANNUAR Musa. FOTO Bernama
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meminta kepada semua supaya tidak patah semangat, sabar dan tabah.

Beliau juga berharap Umno Ketereh supaya tidak menutup bilik gerakan walaupun beliau tidak tercalon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Pesan (saya) pada semua petugas pilihan raya supaya jangan gelabah, jangan tutup bilik gerakan dan jangan cepat patah semangat... Kita ikuti perkembangan (politik) dengan sabar dan tabah.

"Setiap perbuatan, mesti didahulukan dengan berfikir panjang. Kita ikuti perkembangan dengan tenang dan jangan lebarkan perpecahan, terutama dalam kalangan rakan seperjuangan dan umat Islam.

"Ada kala kita disalahertikan, ada kala kita difitnah dengan fitnah yang memilukan. Namun, kekallah pada kebenaran dan kejujuran. InsyaAllah ada hikmah di belakang dan ganjaran di hari kemudian," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, Ketua Pergerakan Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin bertanya kepada beliau apa yang harus dibuat kerana perlu mengisi borang pencalonan hari ini.

"Jawapan saya konsisten... teruskanlah seperti biasa. Beliau nak jumpa saya pagi ini, saya katakan 'sempurnakan semua urusan dulu'.

"Sewaktu dipanggil ke majlis pengumuman di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pun sama. Beliau minta keputusan saya dan jawapan saya sama juga.... Pergilah dan terimalah. Alhamdulillah Ketereh tenang.

"Salam persahabatan dan sama jaga ukhwah sesama Islam," katanya.

Terdahulu, empat menteri Kabinet Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digugurkan sebagai calon PRU-15.

Selain Annuar, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara) dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi) turut digugurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 11:34 AM