Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Selepas namanya digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) di Johor, Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Menerusi kenyataan dimuat naik dalam Facebook, Mohd Puad menjelaskan semalam hari terakhirnya di JASA dan beliau tidak berganjak dengan keputusan meletak jawatan.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) hari terakhir saya di JASA. Saya tidak mengubah keputusan untuk meletak jawatan. Memang, ramai juga yang akan mengutuk saya. Saya tetap tabah.

“Berakhirlah riwayat saya di JASA. Tempat panas hinggakan DAP membawa usul ke Parlimen di sidang Parlimen terakhir awal tahun ini supaya JASA dibubarkan. Sebelum ini dalam bajet Pakatan Harapan (PH) mereka mencadangkan supaya JASA ditutup sahaja.

“Kalau mahu disebut satu persatu memang banyak yang dilakukan sehingga JASA semakin dikenali termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dan juga dalam kalangan pelajar Malaysia di luar negara,” katanya dalam entri terbarunya.

Pada masa sama, Mohd Puad yang dilantik ke jawatan itu pada Mac 2015 turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan dan pegawai jabatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 3:55 AM