Siti Rohana Idris


Tumpat: "Saya baru saja nak lelapkan mata tiba-tiba terbau asap dan menyangkakan masakan hangit tapi rupanya bilik tidur abang sedang terbakar," kata Muhammad Zulffi Ramli.

Muhammad Zulffi, 18, berkata, dalam kejadian jam 11.30 malam tadi, dia berseorangan di rumah kerana abang dan kakak iparnya keluar manakala ibu serta bapanya pula berada di Kuala Lumpur atas urusan menghantar seorang lagi abangnya ke universiti.

Menurutnya, dia yang berada di tingkat atas rumah dua tingkat tiba-tiba terbau asap dan segera menjenguk ke ruang dapur kerana menyangkakan mungkin ada sesiapa yang memasak.

"Ketika itu asap sudah memenuhi tingkat atas dan saya ingatkan ada masakan hangit tapi tiada apa-apa sebelum saya memeriksa tiga lagi bilik tidur di tingkat atas satu persatu.

"Saya buka bilik tidur abang dan mendapati asap tebal dari ruang itu sebelum segera keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepulau di sini, hari ini.

Kebakaran menyebabkan kemusnahan kira-kira 80 peratus dengan tingkat atas yang berstruktur kayu hangus.

Ibunya, Ruhana Awang, 59, berkata, dia dihubungi sepupunya malam tadi memaklumkan mengenai rumahnya yang sedang terbakar dan melihat sendiri menerusi video yang dihantar.

"Saya ketika itu berada di Kuala Lumpur dan bercadang pulang ke Kelantan pada Isnin ini namun sebaik tahu rumah terbakar, kami bertolak pada jam 12 tengah malam tadi dan baru saja tiba sebentar tadi.

"Hanya Allah saja tahu sedihnya melihat tempat berteduh selama ini hangus dan dalam perjalanan pulang, saya tidak henti-henti berdoa semoga semuanya selamat terutama keselamatan anak bongsu (Muhammad Zulffi)," katanya.

Ruhana berkata, nasib mereka agak baik kerana tiada dokumen penting yang hangus dan hanya geran tanah saja yang gagal diselamatkan manakala sejumlah barang kemas juga dalam keadaan baik.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Mohd Rafain Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.45 malam.

"Seramai 19 anggota dari BBP Tumpat, Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor tiba di lokasi yang membabitkan rumah kediaman dengan 80 peratus kemusnahan.

"Api dapat dikawal pada jam 12.20 tengah malam dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 12:56 PM
KEADAAN rumah mangsa yang terbakar 80 peratus dalam kejadian di Kampung Kepulau, malam tadi. FOTO Siti Rohana Idris
KEADAAN rumah mangsa yang terbakar 80 peratus dalam kejadian di Kampung Kepulau, malam tadi. FOTO Siti Rohana Idris