FOTO Ihsan Bomba
FOTO Ihsan Bomba
Rosliza Mohamed


SATU unit Kuarters Perumahan Tentera di Pengkalan Chepa terbakar dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi, hari ini.

Kejadian yang dipercayai akibat litar pintas itu menyebabkan 80 peratus tingkat atas unit itu hangus.

Nor Salasiah Sulaiman, 26, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terbau hangit ketika sedang bersiap untuk menghantar anak keduanya yang berusia empat bulan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa bagi pemeriksaan kesihatan.

"Mulanya saya ingat orang bakar sampah dan menjenguk menerusi tingkap, tapi bau hangit itu kuat di dalam rumah.

"Saya naik ke tingkat atas dan terkejut melihat bilik tidur sedang terbakar. Saya bergegas menyelamatkan diri bersama dua anak (termasuk sulung usia empat tahun).

"Jiran membantu menyelamatkan menyelamatkan kereta Proton Wira dan saya pula mengambil dokumen penting yang disimpan dalam rak di tingkat bawah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, 18 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa dan Kota Bharu bersama tiga jentera ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan, jam 9.59 pagi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Zamri Yazid berkata, ketika tiba, sebahagian tingkat atas kuarters terbabit hangus dan pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak ke 13 unit lain dalam tempoh 15 minit.

Menurutnya, setakat ini, punca sebenar kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 6:56 PM